January 20, 2021 House of Trust

Ucapan MB: Majlis Penyerahan Hakmilik Tanah FELDA Pemanis 2

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN HAKMILIK TANAH

FELDA PEMANIS 2

DI DEWAN SEMAI BAKTI FELDA PEMANIS 2

PADA HARI KHAMIS, 11 JANUARI

JAM 10.00 PAGI

FELDA Pemanis

Sumber Gambar : jauhar.my 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul pada majlis yang diadakan pada hari ini. Iaitu untuk bersama-sama menyempurnakan MAJLIS PENYERAHAN HAKMILIK TANAH FELDA PEMANIS 2.

Saya juga ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peneroka, peneroka wati serta pasangan dan keluarga masing-masing atas penerimaan surat hakmilik tanah pada hari ini.

Kerajaan Negeri amat sedar bahawa tanah merupakan aset yang sangat penting dan bernilai, bukan sahaja kepada para peneroka, tetapi kepada sesiapa sahaja antara kita.

Ia adalah warisan, hasil kepada segala keringat dan kerja keras serta aset yang harus dipertahankan oleh semua.

Lebih-lebih lagi, tanah merupakan aset yang bukan sahaja memberikan pulangan ekonomi yang berbaloi. Tetapi sering menjadi ukuran dan lambang maruah keluarga kita.

Sebab itulah kita di pihak Kerajaan Negeri dan FELDA sendiri amat memahami dan prihatin akan perkara ini.

Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hakmilik hartanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah.

Akan tetapi, saya juga harap yang tuan-tuan dan puan–puan semua memahami satu perkara. Iaitu, semua urusan berkaitan dengan hakmilik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit.

Bukan sahaja untuk tanah-tanah FEDLA, tetapi semua jenis tanah.

Bukan sahaja di Johor, tetapi di mana-mana sahaja di seluruh negara. Ia sememangnya memakan masa dan harus diuruskan dengan berhati-hati dan teliti.

Jadi, saya sangatlah berterima kasih kepada semua peneroka dan ahli keluarga yang sentiasa memahami dan bersabar dengan perkara ini.

Apa yang boleh saya katakan, Kerajaan Negeri, dan saya sendiri secara peribadi sebenarnya sentiasa berusaha untuk memastikan urusan hak milik tanah peneroka FELDA diuruskan dengan cara yang terbaik demi kebaikan dan manfaat semua pihak.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Di Negeri Johor, selaku negeri yang mempunyai jumlah FELDA kedua tertinggi di Malaysia, kita mempunyai 73 buah rancangan FELDA, merangkumi 15 buah kawasan Parlimen.

Antaranya Parlimen Pengerang, Kota Tinggi, Tenggara, Kulai, Tebrau, Simpang Renggam, Ledang, Labis, Sembrong, Sekijang, Pagoh, Mersing dan sudah pastilah, Segamat.

Setiap satu FELDA ini mempunyai kapasiti peneroka yang berbeza-beza. Malah, isu dan keperluan setempat di setiap tanah rancangan juga tidak sama.

Namun, dalam semua perbezaan itu, isu pemilikan tanah adalah isu yang merentasi semua FELDA. Bukan sahaja di Johor, malah di semua negeri-negeri yang mempunyai tanah rancangan FELDA.

Ia adalah satu isu yang universal. Yang dihadapi oleh semua peneroka FELDA, terutamanya generasi yang sudah lama mengusahakan tanak FELDA.

Bagi FELDA Pemanis 2 ini, permohonan untuk mengeluarkan hak milik tapak ladang dan rumah bagi peneroka-peneroka telah dibuat dan adalah selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor sebagaimana Ringkasan Mesyuarat bertarikh 14.04.1973.

Permohonan hakmilik Peringkat 1 dibuat oleh FELDA pada 13.10.2011. Manakala Peringkat 2 dan 3 pula pada 08.03.2015.

Dan akhirnya, permohonan ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri seperti dalam Ringkasan Mesyuarat bertarikh 14.09.2016.

Notis 5A berkenaan Penyelesaian CAC juga telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah berjumlah RM1,256,200.00 dan pihak FELDA sendiri telah menyelesaikan bayaran ini secara berperingkat.

Pada awal tahun lalu, pihak Felda telah pun menjelaskan baki terakhir bayaran penyelesaian yang berjumlah RM410,487.94.

Dan secara keseluruhannya, keluasan yang telah dikurniakan oleh Kerajaan kepada Felda Pemanis 2 adalah seluas 504,763 meter persegi bagi tapak rumah kediaman. Manakala keluasan bagi tanah ladang keseluruhannya adalah seluas 1,705.8 hektar.

Pada hari ini, seramai 430 peneroka akan menerima hak milik tanah mereka. Jumlah ini merangkumi 430 lot hak milik bagi tapak rumah dan 521 lot hak milik tanah bagi tapak kebun.

Jumlah lot ladang adalah lebih banyak daripada jumlah lot rumah kerana terdapat peneroka yang menerima lebih dari 1 lot ladang. Walaubagaimanapun, jumlah keluasan keseluruhan yang diterima masih dalam skala lebih kurang 10 ekar.

Secara khususnya, keluasan tapak yang diterima oleh setiap individu adalah:

a) Antara 726 meter persegi bersamaan 7,814.6 kaki persegi hingga 2,005 meter persegi bersamaan 21,581.64 kaki persegi, bagi tapak rumah; dan

b) Antara 3.643 Hektar bersamaan dengan 9.002 ekar hingga 4.190 Hektar atau bersamaan 10.354 Ekar, bagi tapak ladang.

Saya ingin maklumkan yang setiap hakmilik atau geran yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah ini perlu dibayar cukai oleh pemiliknya pada setiap tahun.

Secara umumnya kadar cukai bagi Tapak Rumah Kediaman adalah sebanyak RM45 hingga RM130 bagi satu plot. Manakala tapak pertanian sebanyak RM18 hingga RM225 bagi satu plot.

Sebelum ini, bagi hakmilik Felda, atau tanah berkelompok lain, hanya satu penama yang dibenarkan dalam satu-satu geran.

Akan tetapi, susulan daripada pindaan akta GSA pada 26 Februari 2002, pemilikan tanah berkelompok ini kini boleh mempunyai 2 orang penama.Jadi, saya harap perkara ini akan memudahkan dan memberi manfaat kepada semua.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita memahami bahawa isu yang dihadapi oleh para peneroka dan penduduk FELDA tidak hanya berkisar tentang pemilikan tanah. Tetapi juga pelbagai isu lain.

Atas dasar itu, semasa ucapan hari Peneroka pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan 6 insentif khas untuk diberikan kepada warga FELDA.

Antaranya, bayaran insentif khas kepada peneroka sebanyak RM 5000, pembayaran wang SES atau penanaman semula oleh peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit dari tahun 2010 sehingga tahun 2016 dan pembinaan 5000 unit rumah kediaman untuk Generasi Kedua Felda.

Apa yang boleh saya katakan, semua ini adalah satu manifestasi keprihatinan Kerajaan terhadap kebajikan peneroka dan warga FELDA.

Kita mahu memastikan yang FELDA menjadi satu lembah kehidupan yang sejahtera, yang selamat dan berupaya menawarkan kehidupan yang berkualiti.

Imej dan pandangan terhadap FELDA sebagai sekadar satu kawasan penempatan bagi peneroka ladang, mesti kita perbetulkan.

Ia menjadi aspirasi saya secara peribadi untuk membawa satu imej baharu yang jauh lebih besar dan dihormati kepada semua warga FELDA.

Saya mahu kita semua bersama-sama membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa tanah-tanah Rancangan FELDA di Johor, adalah satu kawasan yang bersih, yang harmoni dan lengkap dengan segala kemudahan yang baik.

FELDA mesti menjadi kawasan luar bandar yang dinamik. Yang mempunyai kepentingan dan sumbangan yang bermakna kepada negara. Selari dan setimpal dengan sumbangan ekonominya melalu hasil ladang.

Pada saya, warga FELDA mesti berbangga menjadi anak FELDA.

Malah, anak-anak FELDA mesti berbangga dengan FELDA. Kerana, FELDA sejak sekian lama merupakan satu cerita kebangkitan sosial yang sangat berjaya dan istimewa.

Tuan-tuan dan puan-puan pergilah ke mana-mana tempat lain di dunia ini. Tidak ada satu pun program pembasmian kemiskinan yang lebih berjaya dari FELDA.

Dan ini bukan dakwaan saya. Ini bukan kes masuk bakul angkat sendiri.

Tetapi, ini adalah pengiktirafan oleh pakar-pakar akademik dan ahli ekonomi dunia.Kita mungkin tidak tahu dan tidak sedar, bahawa dunia luar sebenarnya sangat mengagumi FELDA.

Tidak terfikir oleh mereka, bahawa tanah rancangan seperti FELDA berupaya mengubah struktur dan status sosial yang sangat berimpak tinggi.

Malah, mobiliti sosial antara peneroka awal dan anak-anak peneroka atau generasi kedua, merupakan suatu pencapaian yang sangat mengagumkan.

Saya ingin tegaskan yang semua ini tidak berlaku dengan sendiri. Ia adalah hasil dasar dan inisiatif kita yang sentiasa prihatin dan memandang tinggi kepentingan para peneroka FELDA. Dan sudah pastilah ia juga adalah hasil kerja keras, komitmen serta kerajinan para peneroka semua untuk terus berbudi pada ladang-ladang kita.

Di pihak Kerajaan Negeri Johor, dan di pihak saya sendiri secara peribadi, FELDA merupakan satu bahagian yang sangat penting kepada negeri Johor.

Walaupun FELDA ini pengurusan dan kawal selianya adalah di bawah Kerajaan Persekutuan, tetapi Kerajaan Negeri tidak akan sesekali lepas tangan dengan isu dan kebajikan warga FELDA.

Malah, pentadbiran saya telah beberapa kali menzahirkan pendirian bahawa Kerajaan Negeri mesti terlibat dan mengambil tahu hal-hal FELDA dengan lebih kerap dan berkesan.

Sebab itulah di pihak Kerajaan Negeri sendiri, kita turut merancang pelbagai inisiatif yang besar untuk FELDA-FELDA di Johor.

Antaranya, seperti yang saya umumkan tahun lalu, adalah peruntukan sebanyak RM30 juta dana MARRIS untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan di kawasan-kawasan FELDA seluruh Johor.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk mengambil alih dan menanggung penyelenggaraan 65 buah sekolah agama di seluruh FELDA Johor.

Malah, demi memastikan anak-anak muda di FELDA kita berpeluang untuk meningkatkan kemahiran diri mereka, Kerajaan Negeri mengkhususkan sebanyak RM1.5 juta dana melalui Tabung Latihan Kemahiran Johor, khas untuk anak-anak FELDA.

Pada masa yang sama, kita pasukan saya juga sedang membuat penelitian terakhir dan sedang mengemukakan beberapa lagi cadangan khusus untuk dilaksanakan di FELDAA-FELDA Johor. Agar, kita boleh menambak balik persekitaran dan kehidupan masyarakat FELDA.

Saya akan membentangkan perkara ini dari semasa ke semasa.

Tuan-tuan dan puan-puan,Seperti mana tuan-tuan dan puan-puan yang selama ini setia menyokong kepimpinan saya dan Kerajaan Negeri, saya juga akan memastikan Kerajaan Negeri terus menyokong keperluan dan kepentingan masyarakat FELDA.

Kita mesti bersama-sama menyokong satu sama lain dan terus bersama-sama bekerja keras demi kemajuan warga FELDA.

Akhir kata, saya mewakili Kerajaan Negeri Johor sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kelancaran penyerahan hakmilik tanah pada hari ini.

Doa saya, semoga pemberian geran hak milik hari ini akan menjadi satu lagi kejayaan peribadi yang bermakna kepada semua tuan-tuan dan puan-puan.

Ini adalah hasil kerja keras tuan-tuan dan puan-puan semua selama ini. Ia adalah satu perkara yang tidak mungkin tergambar dengan kata-kata. Tetapi saya percaya, ia adalah sesuatu yang sangat besar dan sangat layak untuk dibanggakan.

Semoga ia memberikan manfaat yang besar kepada tuan-tuan dan puan-puan serta ahli keluarga semua, insya-Allah.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan MAJLIS PENYAMPAIAN GERAN HAK MILIK TANAH FELDA PEMANIS 2 PADA HARI INI.

Sekian.

Wabilahitaufik Walhidayah, Wassalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*Untuk Laporan Majlis penuh, sila rujuk Jauhar.my

Related Posts

The New Decade of Johor

February 5, 2018

February 5, 2018

“Progress is Dynamic. No full stops, no finality. It should point towards a greater vision – not just achieving a...

UMNO Jangan Berangan

December 12, 2019

December 12, 2019

UMNO parti terbesar orang Melayu, baru sahaja selesai berhimpun. Acara tahunan bagi memenuhi takwim parti tersebut sudah tentu dinanti-nantikan. Sama...

Malaysia – Singapore Air and Maritime Boundaries Dispute

December 19, 2018

December 19, 2018

     Malaysia’s relations with Singapore witnessed a decline recently. This is due to the renewed tensions triggered by unresolved...

Countering Violent Extremism in Malaysia

October 26, 2018

October 26, 2018

Summary of “The Role of Universities and Schools in Countering and Preventing Violent Extremism: Malaysian Experience.” written by Ahmad El-Muhammady published...

By the Children, With The Children, For The Children

November 25, 2019

November 25, 2019

“Dear adults, please listen to us. Please listen to our voices. Let’s work together.” Those were simple but powerful words...

International Affairs Update (Week 1 of February 2020)

February 13, 2020

February 13, 2020

A. Novel Coronavirus (2019-nCoV) What is it? Coronaviruses (CoV) are a large family of viruses that cause illness ranging from...

Kajian Separuh Penggal RMK-11

October 22, 2018

October 22, 2018

Secara keseluruhannya, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) menggariskan enam tonggak bagi menyokong pertumbuhan yang inklusif dan pembangunan yang...

Pembiayaan Politik di Malaysia: Memperkukuh Integriti

January 30, 2019

January 30, 2019

Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) telah dilancarkan pada 14 Ogos 2015 untuk menyediakan satu forum perundingan bagi masyarakat...

MIER: 2.4 million Job Losses under Worst Case Scenario

March 30, 2020

March 30, 2020

As of March 30th 2020, Malaysia recorded 156 new Covid-19 cases, bringing the total number to 2,626. The good news...

Pesan kepada Umno untuk 2020

December 18, 2019

December 18, 2019

TAHUN 2019 bakal melabuhkan tirainya. Tahun hadapan, bermulalah dekad baharu bagi kalendar Gregorian. Bersamanya juga tiba seribu satu perubahan tatakelola...

Ke Arah Kemapanan Pasir Gudang

September 19, 2019

September 19, 2019

Selaku penduduk Pasir Gudang, saya sentiasa terpanggil dan mengikut rapat perkembangan insiden pencemaran berulang di kawasan ini. Isu ini nampaknya...

Statement by Tun Dr Mahathir Bin Mohamad at the 73rd United Nations General Assembly

October 1, 2018

October 1, 2018

Bait Al Amanah salutes Tun Dr Mahathir Bin Mohamad for his excellent and articulate speech at the General Debate of...

Dependency Dilemma of Foreign Workers in Johor

August 27, 2019

August 27, 2019

“They build our cities, they serve us teh tarik, they raise our children, yet we don’t want too many of...

Weekly Economic Update (Week 1 of February 2020)

February 5, 2020

February 5, 2020

I. Bank Negara Malaysia reduces Overnight Policy Rate[1] (OPR) to 2.75 percent 25 basis point reduction (second time in less than 6...

Wajarkah jurang gaji CEO dan pekerja semakin melebar?

August 7, 2019

August 7, 2019

TAHUN lepas, lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan antara 20 syarikat dalam Bursa Malaysia yang memberi gaji ketua pegawai eksekutif (CEO)...

Comments
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *