TAHUN lepas, lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan antara 20 syarikat dalam Bursa Malaysia yang memberi gaji ketua pegawai eksekutif (CEO) paling tinggi. Antara lima GLC tersebut adalah Malayan Banking Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, BIMB Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.
Lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan antara 20 syarikat dalam Bursa Malaysia yang memberi gaji ketua pegawai eksekutif (CEO) paling tinggi *Kredit Gambar: The Star Newspaper
Berita ini merupakan satu penzahiran jelas lagi parah tentang jurang perbezaan gaji (wage gap) yang kian melebar, di antara pegawai teratas dengan kumpulan pekerja pertengahan dan bawahan dalam sesebuah organisasi.
Tindakan kerajaan untuk memperkenalkan garis panduan pembayaran gaji bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun adalah amat bertepatan. Malaysia tidak boleh melangkah ke status negara berpendapatan tinggi dan maju, jika para pekerjanya tidak diberi imbuhan yang setimpal dengan produktiviti yang dihasilkan. Malah, keseluruhan aspirasi Kemakmuran Bersama tidak akan tercapai jika jurang pendapatan antara lapisan pekerja adalah melampau dan keterlaluan.
Wujud beberapa perkara yang mesti diterima secara terbuka.
Pertama, perbezaan gaji pegawai teratas dan pekerja bawahan di Malaysia masih lagi besar berbanding negara-negara jiran. Di Singapura contohnya, dari tahun 2008 sehingga tahun 2017, jurang perbezaan gaji mengembang sehingga 12.1%, manakala di Indonesia pada 12.7%. Namun Malaysia mencatatkan pelebaran jurang sebanyak 14.7%, paling tinggi berbanding kedua-dua buah negara tersebut.
Malah, dijangkakan yang jurang ini akan melebar dalam trend automasi pekerjaan yang kian rancak, serta kekurangan pemimpin korporat peringkat atas dan menengah untuk memimpin sebuah organisasi.
Jurang perbezaan gaji dijangkakan akan melebar *Kredit Gambar: Treasury and Risk
Kedua, pekerja Malaysia masih belum lagi menikmati jumlah gaji dan pendapatan yang setimpal dengan produktiviti mereka. Walaupun labour share of income atau bahagian pendapatan pekerja Malaysia telah meningkat sejak tahun 2010 sehingga 2017 daripada 31.7% kepada 35.2%, kita masih tertinggal berbanding negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jerman dan Singapura.
Ini diterjemahkan dalam dapatan Bank Negara tahun lepas yang menunjukkan bahawa dalam setiap AS$1,000 output yang dihasilkan, pekerja Malaysia mendapat hanya AS$340 berbanding pekerja di negara maju, yang dibayar AS$510 untuk jumlah output sama.
Menurut satu analisis yang diterbitkan oleh akhbar The Star, April lalu, apabila melihat kepada labour share of income 13 syarikat dalam senarai Bursa Malaysia yang mewakili 28% total market capitalisation di dalam bursa – bagi setiap RM1 yang diperoleh syarikat-syarikat tersebut, hanya RM0.27 diperuntukkan untuk gaji, bonus dan insentif kepada para pekerja.
Senario ini sangat membimbangkan kerana jumlah tersebut tidak termasuk perbezaan gaji, bonus dan insentif yang diterima oleh pegawai teratas dengan pekerja pertengahan dan bawahan dalam syarikat tersebut.
Justeru, kenyataan Dr Mohamed Khalid, penasihat ekonomi perdana menteri dalam laporan oleh Berita Harian pada 15 Julai lalu memberikan kita sedikit harapan bahawa Kerajaan memandang serius perkara ini. Kerajaan sedang merangka satu garis panduan bagi memastikan yang para pekerja dibayar secara wajar dan tidak berlaku pemberian imbuhan yang keterlaluan dan tidak adil kepada pihak pengurusan yang tertinggi, khususnya dalam kalangan GLC.
Inisiatif ini memberikan keyakinan kepada kita setidak-tidaknya dalam 2 perspektif.
Pertama, ia bertindak sebagai jaminan yang melegakan kepada ramai pekerja GLC yang berasakan mereka tidak dibayar secara wajar. Malah, ia akan mewujudkan satu kesedaran dan kesanggupan para majikan untuk melatih dan memberikan pendidikan tambahan kepada kumpulan pekerja pertengahan dan bawahan, terutamanya untuk memastikan mereka kekal relevan dalam zaman automasi dan kebergantungan teknologi baharu kini.
Menurut laporan The Global Competitiveness 2017-2018, Malaysia menduduki tangga ke-45 daripada 137 negara dunia dalam kesediaan pendidikan tinggi dan latihan kemahiran untuk mendepani ketidaktentuan global. Ini jelas menunjukkan bahawa majikan di Malaysia masih lagi jauh ketinggalan untuk melengkapkan tenaga kerjanya dengan skills of the future dalam era Revolusi Industri 4.0.
Dalam The Global Competitiveness 2017-2018, Malaysia menduduki tangga ke-45 daripada 137 negara dunia dalam kesediaan pendidikan tinggi dan latihan kemahiran (Pillar 5) *Kredit Gambar: Perbadanan Produktiviti Malaysia
Jika tenaga kerja kita berkemahiran tinggi, maka produktiviti meningkat dan tawaran gaji yang lebih tinggi boleh ditawarkan kepada semua.
Kedua, tujuan garis panduan pembayaran gaji ini diperkenalkan untuk meningkatkan kesejahteraan para pekerja di Malaysia. Sebuah kajian yang dijalankan oleh Said Business School, University of Oxford telah mendapati bahawa kepuasan hati pekerja amat mempengaruhi tahap kesetiaan pelanggan kepada sesebuah entiti korporat.
Kepuasan hati pekerja juga bakal menghasilkan impak dan produktiviti serta keuntungan yang tinggi kepada majikan. Apabila para majikan melayan dan melihat tenaga kerja di bawah jagaannya dari sudut pandangan manusiawi dan bukan sebagai satu unit nombor dan buruh semata-mata, sudah tentulah organisasi tersebut akan lebih berjaya.
Dalam Freefall yang ditulis oleh pemenang Anugerah Nobel Ekonomi, Joseph E. Stiglitz, fenomena, pembayaran imbuhan kepada pengurusan tertinggi dengan cara yang wajar ini sangat membimbangkan. Malah, ketika Amerika berhadapan dengan krisis sub-prima, sangat jelas kelihatan yang para CEO diberikan imbuhan sehingga puluhan juta sedangkan kedudukan kewangan bank-bank di sana pada ketika itu berada dalam keadaan yang nazak. Akhirnya, mentaliti too big to fail menyababkan kerajaan terpaksa campur tangan setelah keseluruhan pasaran kewangan di sana merudum.
Buku Freefall oleh Joseph E. Stiglitz *Kredit Gambar: New York Times
Pekerja adalah nadi sesebuah syarikat. Mereka layak diberi imbuhan yang bermaruah dan setimpal. Keuntungan syarikat bukan hanya untuk dinikmati secara tidak adil oleh pengurusan yang tertinggi sahaja. Aspirasi Kemakmuran Bersama di bawah Malaysia Baharu harus memberi pengiktirafan, dan ganjaran, yang bermakna kepada mereka yang selama ini bertungkus lumus memastikan sesebuah organisasi itu terus berdaya saing.
Penulis adalah Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidikan di Bait Al Amanah bersama Abdullah Afiq, Penyelidik di Bait Al Amanah.
*Artikel ini juga telah diterbitkan dalam The Malaysian Insight
Comentarios