top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Keluarga Malaysia: Ke Mana Kita Mahu Pergi?

Updated: Oct 17, 2023

Ditulis oleh Mohd Daud Mat Din (Pengarah Pengasas Bait Al-Amanah) dan Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain (Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia)


Menjadi lumrah bahawa setiap pemimpin atau kerajaan baharu akan tampil dengan fokus serta pelan mereka sendiri. Sekurang-kurangnya dalam bentuk tema, moto, seruan atau battle cry yang tersendiri. Tun Dr. Mahathir menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Badawi memperkenalkan konsep Islam Hadhari, Datuk Seri Najib Razak menggunakan 1Malaysia dan Pakatan Harapan tampil dengan ‘Malaysia Baharu’.


Setiap satunya harus mempunyai naratif yang jelas. Apakah maksud dan cakupan, sasaran serta pelan tindakan yang disusun dalam mencapai semua itu. Meskipun kita bersikap terbuka dengan meraikan pelbagai pandangan awam, pihak pemerintah perlu menyediakan definisi autoriti sebagai panduan dan menjadi pengikat kepada semua idea yang diperdebatkan.


Begitu juga dengan kerajaan terbaharu di bawah YAB Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob. Konsep Keluarga Malaysia menjadi pilihan untuk diketengahkan. Beliau memperkenalkan konsep ini dalam ucapan sulung sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan baru-baru ini.


Secara umumnya, pemilihan istilah ‘keluarga’ sudah pasti membawa konotasi yang positif. Keluarga adalah institusi terkecil yang terpenting dan kritikal dalam membina sesebuah masyarakat. Keluarga adalah perkara yang difahami dan dimiliki oleh hampir semua orang secara jelas.


Dalam situasi sukar negara yang masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-19, pendekatan Keluarga Malaysia suatu yang bertepatan dalam konteks kesejahteraan negara dan rakyat apabila ia menawarkan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati dan pengorbanan.


Namun, adalah tidak cermat sekiranya kita membuat andaian bahawa Keluarga Malaysia sudah tidak memerlukan pendefinisian konsep, penjelasan matlamat serta pembentangan pelan tindakan serta pendekatan yang ingin digunakan. Kesemua elemen ini mesti hadir. Malah, malah mesti hadir dengan segera.


Ini bagi mengelakkan tiga perkara.

Pertama, kekeliruan dalam masyarakat. Seperti yang berlaku dalam konsep Islam Hadhari dan 1Malaysia. Sebelum ini, 1Malaysia pernah dianggap sebagai proses membawa kesamarataan mutlak yang akan menghilangkan semua keistimewaan Bumiputera serta iltizam Kerajaan dalam meneruskan agenda atau dasar pemerkasaan berfokus kepada kelompok masyarakat yang tertinggal. Lantas ia mengundang ‘serangan’ dan pertikaian dari banyak pihak.


Kedua, mengelakkan frasa ini dianggap sebagai sekadar slogan kosong oleh Kerajaan dalam mendekati masyarakat. Seperti yang dilihat semasa pengenalan ‘Malaysia Baharu’. Masyarakat tidak melihat apakah ‘pembaharuan’ tersebut dan bagaimanakah Malaysia yang baharu itu harus dikemudi dan dibangunkan. Kesemua aspek penting ini ditinggalkan tanpa sebarang pengisian yang meyakinkan.


Ketiga, ia akan memudahkan kerajaan untuk melaksana dan menilai pencapaiannya sendiri. Tanpa konsep yang jelas, kerajaan sendiri tidak akan dapat menerangkan apakah matlamat dan sasaran ‘Keluarga Malaysia’ ini sudah dicapai, sedang berkembang atau sebaliknya.


Tinggalkan Amalan Retorik Kosong

Kita harus bergerak dari politik dan tadbir urus yang hanya berpaksikan retorik dan istilah. Tetapi, kita mesti mula beralih kepada sasaran dan matlamat yang jelas. Jika kita ingin menilai berdasarkan konsep-konsep sebelum ini, barangkali Wawasan 2020 adalah yang paling jelas dan mudah difahami. Iaitu, ikhtiar untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dalam acuan sendiri berpaksikan 9 cabaran utama menjelang tahun 2020.


Maka, Kerajaan dan YAB Perdana Menteri sekarang mesti mengambil ruang dan peluang ini untuk memberikan kepimpinan dan peletakan hala tuju negara yang jelas. Jangan dibiarkan konsep yang baik seperti Keluarga Malaysia gagal dan ditolak hanya kerana ia tidak difahami, disalah ertikan dan dilihat tidak lebih dari sekadar retorik kosong.


Antara perkara yang mesti diberikan perhatian dalam konsep Keluarga Malaysia adalah penerapan makna sakral keluarga itu sendiri.


Dalam sebuah keluarga, semua mesti berasa terlindung, tidak diketepikan, disayangi dan diberikan keperluannya secara adil. Semua ahli keluarga mesti saling menghormati satu sama lain. Malah, dalam sesebuah keluarga juga, tidak boleh ada insiden tikam belakang.


Paling penting, dalam sesebuah keluarga itu, pelaksanaan tugas dan tanggungjawab mesti diteruskan sekalipun kita sedang dalam keadaan yang marah, kecewa dan disakiti. Tanggungjawab ayah tidak hilang hanya kerana ia marahkan si anak. Ini resam dan resmi berkeluarga.


Jadi, sejauh manakah sistem nilai dan adat berkeluarga ini mampu kita serap dan terap dalam konsep Keluarga Malaysia?


Dalam program webinar Bicara Kemasyarakatan bertajuk ‘Mentafsir Keluarga Malaysia’ pada 31 Ogos lalu anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyenaraikan tujuh inti pati utama dalam mentafsir keluarga Malaysia.


Dikongsikan bahawa antara iltizam makna keluarga Malaysia hendaklah berteraskan kepada Dasar Perpaduan Negara 2021-2030, bersandarkan lima domain utama iaitu keadilan, kepelbagaian, kebersamaan, kepercayaan dan ketelusan, dimulai oleh pemimpin politik dan penjawat awam, diterjemahkan dalam pelbagai dasar dan program Kerajaan dan mestilah bertujuan menghakis budaya ‘masyarakat slogan’ dan ‘idaman’ dengan menzahirkan tindakan kepada setiap yang diungkapkan.


Sudah pasti seluruh rakyat Malaysia, malah komuniti serantau dan antarabangsa menantikan apakah sandaran dan hala tuju Keluarga Malaysia. Ia harus menjadi sesuatu yang diberikan perhatian dan muncul sebagai legasi kepimpinan yang bukan sahaja baharu dari segi nama, tetapi membawa manfaat yang jauh lebih baik dan bermakna kepada semua.

Keluarga Malaysia yang utuh sudah tentu menggandingkan peranan ketua dan ahli keluarga, iaitu pemimpin dan rakyat. Masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri yang menjadi sumber kekuatan dalam kekeluargaan.


Institusi kekeluargaan boleh runtuh jika tiada lagi persefahaman dan jurang komunikasi semakin melebar. Perbezaan menjadi keutamaan berbanding persamaan.


Secara tuntasnya, Keluarga Malaysia memerlukan naratif yang lebih jelas dan konkrit yang sudah tentu memgambil kira perkara asas seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Semua pandangan terutama daripada ahli pakar dan akademia boleh dikumpulkan yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan model Keluarga Malaysia oleh pemerintah sebagai rujukan penting.


Selamat maju jaya Keluarga Malaysia, semoga Malaysia kembali menjadi keluarga buat semua.


*Artikel ini turut diterbitkan oleh Berita Harian pada 3 September 2021 di bawah tajuk ‘Perjelas konsep Keluarga Malaysia elak dianggap retorik kosong

22 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page