Ditulis oleh Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidikan ZCG Consulting bersama-sama Benedict Weerasena, Pengarah Penyelidikan Bait Al Amanah.
GST - sistem cukai barangan dan perkhidmatan yang sarat dengan kontroversi. Sistem cukai yang dikatakan telah menyumbang kepada kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional, selepas pemerintahan selama lebih 60 tahun. Sistem cukai yang kurang popular dalam kalangan rakyat kebanyakan. Sistem cukai yang mampu mencetuskan kebimbangan dan keresahan pelbagai pemegang taruh di Malaysia.
Namun, sekiranya kira melihat daripada perspektif hasil dan kedudukan fiskal semata-mata, GST terbukti berupaya menjadi salah satu rejim cukai yang telah menjana hasil tambahan yang berkesan dan cekap untuk negara. Sumbangan GST kepada hasil negara adalah hampir dua kali ganda (20.1 peratus pada tahun 2017) berbanding SST, yang hanya mampu menyumbang 11.9 peratus kepada hasil negara pada tahun 2020.
Selain itu, GST adalah sistem percukaian yang cekap dan telus kerana mewujudkan jejak kertas yang merentasi keseluruhan rantaian bekalan. Hal ini menjadikannya lebih sukar bagi komuniti perniagaan untuk mengelak atau lari dari membayar GST. Sebaliknya, SST dilihat mempunyai risiko dan peluang ketirisan yang lebih tinggi. Malah, dari segi rekod dan pelaporan juga, golongan peniaga beranggapan bahawa sistem SST lebih mengelirukan dan tidak telus.
Namun, sekiranya sistem cukai ini hendak dilihat dalam konteks yang lebih mencapah dan pelbagai, antara persoalan kritikal yang perlu diketengahkan ialah mengapa GST tidak mendapat sambutan dan ditolak (jika diukur berdasarkan keputusan PRU14) secara besar-besaran semasa kali pertama perlaksanaannya?
Pada pendapat kami, antara sebab utama GST ditentang adalah kerana kelemahan tanggungjawab fiskal dari segi ketirisan perbelanjaan hasil kutipan. Perkara ini secara tidak langsung mencipta persepsi dan prejudis yang berpanjangan ke atas kerajaan sekali gus menafikan sebarang naratif dan fakta yang mewajarkan pelaksanaannya. Naratif bahawa GST ini sebenarnya tidak diperlukan kalau kerajaan berbelanja dengan lebih cermat telah berjaya menambat kepercayaan dan sokongan masyarakat awam.
Kedua, kelemahan pelaksanaan GST turut berpunca daripada kekurangan persediaan rapi dan menyeluruh dalam proses bayaran balik / rebat yang kurang cekap. Ketiga, kadar tunggal 6% yang merentas majoriti barangan dan perkhidmatan juga telah ‘mengejutkan’ masyarakat dan pasaran.
Keempat, strategi komunikasi yang lalai, lengai, lagi longlai. Proses libat urus awam kurang kelihatan dan masyarakat berasa bahawa GST adalah satu dasar yang tidak selari dengan kehendak dan keperluan mereka. Penerangan yang saling bercanggah, mengelirukan serta tidak memberikan gambaran keseluruhan yang betul telah menyebabkan GST menjadi satu sistem yang sangat menakutkan dan mudah disalah anggap. Terutamanya ketiadaan naratif serta mekanisme yang jelas dan memudahkan proses peralihan masyarakat. Hal ini telah membuka banyak ruang spekulasi, khabar angin serta serangan yang bersifat politik.
Sekiranya kerajaan merancang untuk mengembalikan pelaksanaan GST, kita perlu mengambil iktibar daripada kesilapan pelaksanaan sebelum ini. Strategi, naratif dan pendekatan oleh lebih 170 negara dunia yang lain semasa memperkenalkan sistem cukai nilai ditambah (VAT) di negara masing-masing boleh menjadi rujukan dan suri teladan yang baik untuk kita.
Antara penambahbaikan naratif yang boleh diberikan perhatian adalah keperluan mengutarakan kegentingan GST terhadap kelestarian hasil pendapatan negara. Perkara ini boleh dihuraikan dalam beberapa peringkat. Pertama, perkongsian fakta dan kedudukan semasa fiskal negara dan ketidakupayaan negara untuk terus bergantung kepada hasil berkaitan petroleum. Kedua, mengangkat pelaksanaan GST sebagai ikhtiar untuk memastikan negara tidak ditinggalkan kepada generasi akan datang dengan bebanan hutang yang besar tanpa sebarang usaha untuk memperluaskan asas cukai negara. Ketiga, menunjukkan dengan jelas bagaimana pelaksanaan semula GST sebenarnya dapat meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang, seperti yang dijelaskan dalam Ringkasan Polisi GST: Penilaian, Keperluan dan Hala Tuju. Keempat, kerajaan perlu menyediakan pelan konkrit berkenaan pemerkasaan tadbir urus perbelanjaan serta pengurusan kewangan awam yang berhemah dengan penuh akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan.
Dari segi fasa pelaksanaan pula, kadar GST yang sesuai perlu dipertimbangkan, terutamanya apabila ekonomi negara masih berada pada landasan pemulihan. Ini bermakna, kerajaan tidak semestinya mengenakan peratusan tunggal yang merentas semua jenis dan kelompok barangan / perkhidmatan. Misalnya, kadar pariti 3-4 peratus, untuk menggantikan hasil kutipan SST dahulu, boleh menjadi peratusan permulaan sebelum merancang untuk menaikkannya beberapa tahun kemudian bergantung kepada keadaan ekonomi. Sebaliknya, kadar yang lebih tinggi bagi barangan bersifat mewah, import dan bukan keperluan boleh dikenakan.
Yang paling penting, strategi pelengkap yang holistik mesti diwujudkan. Ia bertujuan memastikan kesan terhadap perubahan harga adalah minimum dan terkawal. Pada masa yang sama, aspek kesejahteraan masyarakat awam akan lebih terpelihara. Contohnya, pengembalian GST dilakukan berserta dengan jaringan keselamatan sosial yang lebih luas dan bersepadu khususnya yang mensasarkan golongan paling rentan dalam negara. Sistem penyampaian perlu diperkemas agar bantuan sosial sampai kepada mereka yang paling memerlukan. Ketirisan harus diperangi habis-habis, tanpa kompromi.
Akhir sekali, sama ada untuk mengembalikan semula GST atau sebaliknya, prerogatif kerajaan haruslah dipimpin oleh matlamat, naratif serta strategi yang betul. Dasar yang baik, sekali pun sukar dan asing, pasti akan disokong. Kami yakin, masyarakat kita semakin cakna dan matang. Kini, tugas kerajaan untuk membuktikan perkara yang sama.
*Artikel ini telah diterbitkan dalam The Malaysian Insight dan Utusan Malaysia
Mohd Daud Mat Din ialah
Comments