top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Ekspo Johor Berkemajuan Jadi Tumpuan Rakyat

Gambar dipetik daripada halaman facebook rasmi Ekspo Johor Berkemajuan 2017

Bermula 9 hingga 14 Oktober 2017 yang lalu, Dataran Mahkota, Kota Iskandar dibanjiri pengunjung dari pelbagai daerah sejak hari pertama berlangsungnya Ekspo Johor Berkemajuan 2017. Kerajaan negeri Johor terus mencatatkan pencapaian yang besar dan melakar sejarah dengan penganjuran ekspo yang besar dan gilang-gemilang. Sambutan yang ditunjukkan begitu memberangsangkan daripada semua lapisan masyarakat sepanjang sembilan hari penganjurannya. Ternyata Ekspo Johor Berkemajuan tidak menghampakan rakyat Johor yang hadir.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Bin Nordin dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Penutup Ekspo Johor Berkemajuan 2017 tempoh hari berkata:

“kejayaan ekspo mencerminkan muafakat dan mencerminkan usaha kita bergerak sebagai satu team iaitu Team Johor”.

Tegas beliau lagi, Team Johor itu adalah semua rakyat Johor yang mengambil tanggungjawab terhadap Johor dan mempunyai rasa kepunyaan kepada Johor yang hasilnya dapat menjayakan Ekspo Johor Berkemajuan 2017.

Selain berjaya menarik tumpuan rakyat pelbagai kaum, sekali gus membentuk perpaduan. Penganjuran ini juga menjadi saluran yang tepat dalam menyampaikan pelbagai maklumat kepada rakyat. Pada masa yang sama, ia menjadi medium untuk Kerajaan Negeri kongsikan apakan halatuju dan jalan masa hadapan Negeri Johor.

Secara tidak langsung, masyarakat di Johor akan dapat melihat bahawa selain terdapat pelbagai kejayaan dan pencapaian besar yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri, mereka juga serius dalam menyusun dan merancang masa depan yang baik untuk negeri ini. Dan perancangan masa depan yang inilah, yang sering gagal dilakukan dengan baik oleh banyak pihak sebelum ini. Jadi, eskpo ini pastinya memberikan satu kelainan yang luar biasa kepada semua para pengunjungnya.

Sementara itu, dalam Majlis Perasmian Penutup Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau menyifatkan “Ekspo selama sembilan hari dalam tempoh dan era kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Bin Nordin selama ini telah memperlihatkan impak yang besar dengan kos yang rendah bahawa negeri Johor memang menjadi negeri yang terkehadapan di dalam kemajuannya”

“Saya melihat Ekspo Johor Berkemajuan ini daripada pandangan mata hati saya adalah sesuatu ekspo yang luar biasa dan tidak pernah ada sebelum ini,” katanya dalam menzahirkan rasa keterujaan beliau terhadap keberhasilan ekspo ini.

Terdapat banyak maklum balas yang positif dari pengunjung sepanjang berlangsungnya ekspo tersebut. Menurut Puan Zainura binti Ali, umur 53 tahun, dari Kluang, “ekspo ini boleh mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat setempat”. Tambahnya lagi, ekspo ini perlu dijadikan sebagai acara tahunan di negeri Johor kerana banyak manfaat yang diterima oleh rakyat khususnya yang datang dari luar bandar.

Sementara itu, Mohammad Nazri bin Mohd Amin, umur 35 tahun dari Pasir Gudang, berpendapat inisiatif yang diberikan oleh kerajaan Johor sangat relevan seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ). Inisiatif ini memudahkan golongan muda untuk memiliki rumah pada usia muda. Katanya lagi “walaupun untuk memiliki rumah terdapat beberapa tapisan yang harus dilalui, ia bagus kerana rakyat yang telah memiliki rumah tidak layak untuk memohonnya lagi”. Dari maklum balas yang diterima dapat digambarkan bahawa rakyat menyukai ekspo yang dianjurkan ini.

Gambar dipetik daripada halaman facebook rasmi Ekspo Johor Berkemajuan 2017

Ekspo ini turut memberi peluang dan ruang kepada usahawan-usahawan dari negeri Johor untuk memperluaskan rangkaian produk mereka. Secara tidak langsung, rakyat dapat mengenali produk-produk negeri Johor. Lebih menarik, setiap daerah diberi ruang dan peluang untuk mempamer dan mempromosikan produk ikonik mereka yang tersendiri dan berbeza-beza. Ia merupakan salah satu usaha kreatif dalam menerangkan pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSJ), yang mensasarkan untuk membangunkan setiap daerah mengikut kebitaraan dan identiti unik setiap daerah tersebut.

Pastinya ekspo yang telah melabuhkan tirainya 4 hari lalu ini dapat membuka mata dan minda rakyat tentang kejayaan yang telah dikecapi oleh Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan negeri ini dari segenap aspek. Tidak kira dari segi pembangunan ekonomi, pendidikan, prasarana dan sebagainya. Yang penting, ia telah menanam satu rasa kepunyaan dan perasaan bangga semua rakyat Johor terhadap negeri yang mereka cintai ini.

Gambar dipetik daripada halaman facebook rasmi Ekspo Johor Berkemajuan 2017

*Artikel ini juga telah diterbitkan di Oh! Semput dan Malaysian Access

3 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page