top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Belanjawan 2022: Adakah Nasib Pelajar-Pelajar Kita Terjamin?

Oleh Fariq Sazuki, Ahli Ekonomi dan Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidik, Bait Al-Amanah

Belanjawan 2022 merupakan sebuah percubaan meletakkan rakyat sebagai fokus selari dengan semangat tema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera.

Setelah hampir dua tahun rakyat mengalami kemerosotan ekonomi serta tekanan keperitan hidup, Belanjawan 2022 dirangka dengan menggunakan jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah negara. Ini dilakukan untuk memastikan proses pemulihan kualiti hidup rakyat dan ekonomi negara dapat berlaku dengan segera dan berkesan.

Banyak program yang disasarkan untuk membawa pembaharuan yang sangat diperlukan di Malaysia. Misalnya, pemerkasaan sektor kesihatan mental yang amat penting kepada semua lapisan masyarakat, terutama pasca-COVID-19 dan selepas hampir 2 tahun berada dalam pelbagai siri lockdown.

Penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia untuk menjamin kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 pula adalah sesuatu yang perlu dan mesti dipastikan kejayaan pelaksanaannya. Ikhtiar ini kritikal dalam memastikan mereka yang terkesan teruk dibantu dengan sebaik-baiknya.

Kerajaan wajar diberi penghargaan atas usaha untuk mengurangkan jurang, kekangan serta bebanan pendidikan antara pelajar-pelajar dan juga guru-guru demi memastikan tiada pihak yang tercicir susulan penularan wabak COVID-19.

Insentif alat bantuan mengajar kepada guru dan inisiatif pembekalan tablet kepada pelajar B40 di institusi pengajian tinggi (IPT) misalnya, adalah satu bentuk intervensi yang kelihatan kecil, namun sebenarnya sangat membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Tetapi pelaksanaannya mestilah benar-benar berlaku dan tidak menjadi isu seperti dalam kes penerimaan laptop dan peranti pendidikan sebelum ini.

Namun begitu, Belanjawan 2022 didapati kelihatan hanya bersifat jangka masa pendek sepenuhnya dan tidak mengambil kesempatan untuk menyediakan asas-asas yang segar ke arah pemulihan sektor pendidikan dan pengajian tinggi pasca COVID-19.

Tiada langsung inisiatif yang menyentuh secara serius dan menyeluruh isu kehilangan pembelajaran (learning losses) jangka masa panjang yang dialami murid dan pelajar akibat penutupan sekolah dan IPT. Dan tidak kedengaran apakah yang akan dilakukan oleh Kerajaan untuk memastikan kesenjangan yang melebar secara teruk sepanjang 2 tahun ini dapat dibetulkan semula dengan berkesan.

Kajian daripada Bait Al-Amanah dan Center for Market Education menunjukkan Malaysia bakal mengalami kerugian keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak RM80 bilion setahun pada masa akan datang akibat ketidaktentuan dalam pembukaan sekolah selama setahun lebih. Tidak mustahil angka ini akan menjadi lebih besar dengan beberapa kesan domino yang lebih dahsyat dan merugikan semua pihak, khususnya para pelajar sendiri. Kesemua ini sudah pasti akan memberikan kesan yang berpanjangan terhadap pembangunan modal insan generasi akan datang.

Pelajar IPT juga mengalami situasi yang sama. Pengajian di universiti telah teruk terjejas dan menjadi sangat terhad. Hal ini menyebabkan mahasiswa hari ini kurang bersedia untuk melangkah ke alam pekerjaan sekaligus menambahkan lagi masalah struktural yang sudah sedia melarat dalam pasaran pekerjaan di Malaysia.

Penyediaan peranti pintar kepada pelajar untuk pendidikan berjarak di rumah sememangnya langkah yang bernas untuk mengurangkan jurang pendidikan antara murid dan pelajar. Namun, penyelesaian jangka masa panjang yang lebih strategik dan tersusun daripada pihak  kerajaan masih belum jelas.

Pandemik COVID-19 sepatutnya dijadikan sebagai peluang untuk menyelaras semula (reset) sektor pendidikan dan pengajian tinggi negara. Program-program untuk merapatkan jurang pendidikan dan menangani kesan jangka masa panjang perlu dilaksanakan segera, bukan sekadar menyediakan peranti dan data internet.

Pihak sekolah dan IPT perlu proaktif dan diberi peranan secara langsung dalam usaha membantu pelajar-pelajar daripada tercicir. Setakat ini, segala keputusan sekolah dan IPT awam masih lagi bersifat budi bicara penuh di bawah kementerian. Kita masih belum membuat dan merangka sebarang pelan atau keputusan radikal untuk menyelesaikan krisis pendidikan dan modal insan negara.

Malangnya, Program Sarapan Pagi pula tidak diteruskan, walaupun program seperti ini berpotensi besar untuk mengurangkan jurang pendidikan antara murid-murid selepas PKP dan pada jangka masa panjang. Jika tiada program seperti ini, apakah perancangan lain yang dirangka oleh pihak kementerian untuk melindungi murid-murid dan pelajar-pelajar kita?

Selain Belanjawan 2022, kerajaan diseru agar tidak akan berhenti merancang penyelesaian dan strategi jangka masa panjang dalam hal ini.

Anak-anak kita adalah masa depan Malaysia. Jika nasib mereka tidak terbela, Keluarga Malaysia ini akan kehilangan waris untuk meneruskan kelangsungannya.

8 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page