top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Agenda Reformasi Parlimen Perlu Lebih Jelas Era Malaysia Madani

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menyambut baik dan menyokong sepenuhnya agenda reformasi Parlimen yang disebut Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, Dato’ Johari bin Abdul bagi menjadikan Parlimen Malaysia sebagai sebuah parlimen kelas pertama, seperti dilaporkan media semalam. Antara yang menjadi fokus beliau kali ini, antara lainnya bagi memperkasa jawatankuasa pilihan parlimen (JKP), pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, pengenalan sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) dan keanggotaan kesemua Ahli Parlimen persendirian dalam JKP. Perkembangan ini agak positif dan memberangsangkan bagi sebuah institusi terpenting negara; Parlimen Malaysia.


Kami ingin mengetahui perancangan lanjut YDP Dewan Rakyat akan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan baharu, bilangan berserta keahliannya, termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan memantau semua kementerian pimpinan Perdana Menteri memandangkan kabinet sudah terbentuk lebih daripada dua bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Kami mencadangkan juga sebuah JKP bagi Belanjawan dan Kewangan ditubuhkan berasingan bagi menyemak hal ehwal kewangan lain yang tidak termasuk di bawah pantauan PAC. Untuk JKP berasaskan kementerian dan tema yang penting, seperti Hal Ehwal Dalam Negeri, Pendidikan, Kesihatan, Alam Sekitar, Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Negeri, Pilihan Raya dan Demokrasi Pelbagai Parti, Hak Asasi, JKP yang ditubuhkan khas untuk memantau seharusnya bersifat tetap dan disenaraikan dalam Peraturan Mesyuarat supaya semua JKP ini akan kekal wujud sepanjang masa dengan hanya keahlian mereka ditukar selepas setiap PRU. Kesinambungan ini akan mengekalkan keberkesanan dan pemantauan JKP itu sendiri.


Kami juga ingin mencadangkan supaya pihak YDP Dewan Rakyat menggalakkan dan membenarkan seoptimum mungkin penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) seperti penggal lepas yang telah berjaya merapatkan jurang penglibatan kumpulan masyarakat madani (CSO) serta orang awam dalam proses pembuatan dasar negara di Parlimen yang dianggotai oleh Ahli Parlimen rentas parti secara multipartisan seperti KRPPM Pendanaan Politik yang diterajui oleh IDEAS. Sebagai contoh, KRPPM Reformasi Parlimen mesti ditubuhkan segera bagi mengkaji dan mencadangkan segala bentuk penambahbaikan Parlimen yang diperlukan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Usaha ini akan dapat membantu pihak Parlimen menentukan hala tuju yang jelas dalam mereformasi Parlimen era Malaysia Madani.


Gagasan mulia Malaysia Madani harus diangkat menjadi payung naratif untuk mendukung demokrasi pelbagai parti dan mendalami reformasi Parlimen dan institusi penting yang lain. Persengketaan antara-parti yang sengit harus digantikan oleh persaingan antara-parti yang sihat, profesional dan produktif.


Akhirnya, kami menyeru supaya gabungan ini terus dijadikan rakan strategik Parlimen Malaysia sebagai kesinambungan usaha memperkasa Parlimen Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Ditegaskan juga usaha ini selari dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri dan semangat yang ditunjukkan YDP Dewan Rakyat sendiri bagi mengangkat semula martabat Malaysia selaku negara demokrasi berparlimen yang gemilang di persada dunia dan kelas pertama.


Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.


Boleh kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP


Ditandatangani oleh:


Organisasi:


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)

Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)

ENGAGE Network

Wisdom Foundation

Bait Al Amanah

REFORM Malaysia

UNDI18


Individu:


Maha Balakrishnan

Dr Lim Chee Han

Prof Wong Chin Huat

27 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page