Globalisasi dan Pembentukan Negeri Moden: Kes Johor dan Peranan DYMM Sultan Abu Bakar

0
2047

Penulis: Abdul Razak Ahmad, Mohd Daud Mat Din dan Mohd Fakhruradzi Tajuddin

Menurut pakar globalisasi tersohor, Thomas L Friedman, satu-satunya hakikat yang seringkali dipandang ringan di dalam era globalisasi hari ini adalah kita semua semakin mengenali dan memahami bagaimana kehidupan masing-masing. Dan apabila kita semakin mengetahui bagaimana kehidupan masing-masing, kita semua akan bermula menuntut perkara yang sama. Sama ada perkara tersebut baik ataupun tidak di dalam konteks sesebuah masyarakat tidaklah penting, asalkan perkara tersebut dapat dilaksanakan. Itulah yang sedang berlaku (dan sebenarnya telah lama berlaku) di dalam kehidupan di era globalisasi.

Pandangan ini selari dengan definisi globalisasi iaitu proses di mana sistem politik dan ekonomi negara dan serantau, masyarakat, dan budaya telah menjadi bersepadu melalui rangkaian global perdagangan, komunikasi, imigresen dan pengangkutan. Globalisasi bukanlah satu fenomena yang baharu. Ia telah bermula seawal sejarah pengembaraan dan penjelajahan manusia. Bezanya, kini ia lebih canggih kerana dipacu oleh kemajuan luar biasa teknologi komunikasi dan maklumat pada akhir kurun ke 20.

Fenomena globalisasi telah membantu menjadikan sesebuah negara menjadi moden dan maju. Ini termasuklah negeri Johor.

Globalisasi memainkan peranan yang penting di dalam proses pembentukan Johor sebagai sebuah negeri yang moden khususnya di era pemerintahan DYMM Sultan Abu Bakar pada akhir kurun ke 19.

Dampak globalisasi dan bagaimana ia membantu transformasi dan pemodenan Johor boleh di dilihat dari tiga sudut penting. Pertama, ia berlaku hasil peranan penting yang dimainkan oleh DYMM Sultan Abu Bakar. Keupayaan Baginda memoden dan membangunkan Johor adalah kerana visi Baginda yang global, melangkaui negeri malah rantau ini. Baginda memahami dampak globalisasi terhadap masa depan Johor sekalipun pada ketika globalisasi adalah konsep yang tidak pernah diungkap apatah lagi difikirkan oleh mana-mana pemimpin rantau ini. Pemikiran Baginda jelas memaparkan betapa Johor mesti membangun seiring globalisasi, kemodenan dan proses pemiripan Barat.


Download full version: GlobalisasiDanPembentukanNegeriModen.pdf (106kb)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here