Pesan kepada Umno untuk 2020

Ditulis oleh Abdullah Afiq

0
85

*Sumber Gambar: Shutterstock

TAHUN 2019 bakal melabuhkan tirainya. Tahun hadapan, bermulalah dekad baharu bagi kalendar Gregorian. Bersamanya juga tiba seribu satu perubahan tatakelola politik, sosial, ekonomi dan kepercayaan umat manusia. 

Semua ini mengkehendaki pemain politik untuk terus berfikiran terbuka dan berilmu. Wang semata-mata tidak lagi menjadi penentu. 

Sofistikasi seorang ahli politik, kesanggupan dan ketahanan untuk merubah apa yang perlu diubah, serta menempa norma baharu atau the new norm dalam sesebuah institusi politik amatlah didambakan parti dan bangsa ini.

Oleh itu, Umno harus sedar akan perubahan terhadap tatanan kehidupan Melayu. 

Perubahan yang utama adalah – tidak semua Melayu itu adalah sama. 

Melayu dalam dekad yang mendatang akan menjadi lebih dinamik dan terbuka, namun tetap feudal sifatnya. 

*Sumber Gambar: Malaysian Culture

Melayu yang sebenarnya sedia untuk berubah jika individu mahupun institusi yang mereka sanjungi itu, menyeru mereka untuk berubah. 

Melayu dalam dekad yang mendatang ini akan menjadi semakin berani mendukung kebenaran dan menyanggah kebatilan. 

Maka Umno, sebagai sebuah institusi politik bangsa harus sedar bahawa politik wang, politik personaliti terlampau, politik retorik Ketuanan Melayu yang sempit tidak boleh terus menjadi barang dagangannya.

Dalam erti kata lain, Melayu tidak lagi bersifat “tak apa”. Mereka berfikir dan mereka sedia bertindak. Jika Umno gagal menjadi relevan pada semua Melayu, maka Umno tidak akan hidup seperti sebelumnya.

Mengapa ini terjadi? 

Pertama, kerana the age of disruption mengkehendaki agar manusia untuk pantas berubah. Melayu harus menyesuaikan diri dengan perubahan industri pekerjaan dan ketidaktentuan globalisasi.

Hasilnya, pemikiran dan cara hidup Melayu juga turut berubah. Budaya Melayu serta nilai konservatifnya tidak lagi menjadi sesuatu yang penting dalam sistem  kehidupan mereka. 

Lihat sahajalah pembawakan anak-anak muda Melayu dan kepercayaan mereka tentang kehidupan dan prinsip. Semuanya sudah tidak sama malah kadangkala amat kontra dengan norma serta definisi “Melayu” seperti yang difahami ramai.

Keduapolitics of identity adalah tribal politics. Tribal politics bakal memainkan peranan lebih aktif dalam landskap politik Melayu dan Islam. Politik identiti bukanlah lagi seperti yang difahami ramai, iaitu dalam kerangka besar “Melayu lawan Cina” atau “Islam lawan bukan Islam”.

*Sumber Gambar: Pambazuka News

Ianya lebih berselerak dan kompleks lagi. Ini disebabkan oleh kewujudan kumpulan-kumpulan atau “tribes” dalam kalangan bangsa Melayu itu sendiri.

Mereka mempunyai pegangan dan interpretasi berbeza mengenai Islam serta kemelayuan. Tentang politik dan prinsip asas kenegaraan. Identiti yang mereka bentuk juga turut berbeza dan tidak homogenus. Ia amatlah pelbagai dan begitu sukar untuk dijangkakan.

Atas dasar tersebut, pembawakan mereka sebagai sebuah bangsa juga semakin berlainan serta rencam. Meskipun mereka semua dipanggil Melayu dan menganut agama Islam.

Ini dirumitkan lagi dengan kewujudan kumpulan-kumpulan yang menyebar luaskan perbezaan-perbezaan tersebut menerusi pelbagai organisasi akar umbi dan badan bukan kerajaan (NGO). Semuanya atas nama minority representation dan kebebasan bersuara.

Oleh yang demikian, mereka secara langsung berkemampuan untuk mencorak pola pemikiran Melayu, lalu secara langsung menidakkan Umno sebagai sebuah institusi tunggal yang dominan dalam membentuk paradigma bangsa.

Jika Umno enggan menguruskan kedua-dua perubahan ini, maka ia akan sukar untuk kekal relevan, dan tidak terperanjatlah jika ia ditolak oleh semua kelompok Melayu dalam dekad mendatang.

Umno akan tetap wujud, namun suaranya tidak lagi menjadi suara pencerah bagi semua orang Melayu. Suaranya hanya akan berkisar hanya dalam kalangan ahli parti, perwakilan serta ketua bahagian sahaja.

Untuk Umno, semoga tahun 2020 adalah tahun yang membina bagi anda. Sebelum tibanya pesta pertandingan jawatan pada tahun 2021 kelak.

*Artikel ini telah diterbitkan dalam The Malaysian Insight

* Abdullah Afiq adalah penganalisis di Bait Al Amanah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here