UMNO Jangan Berangan

Ditulis Oleh Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidik Bait Al Amanah

0
311

*Sumber Gambar: Astro Awani

UMNO parti terbesar orang Melayu, baru sahaja selesai berhimpun. Acara tahunan bagi memenuhi takwim parti tersebut sudah tentu dinanti-nantikan. Sama ada oleh pendukungnya, mahupun pemerhati bebas dari luar parti.

Apa yang diutarakan dan diluluskan oleh Umno sudah tentulah sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang iklim politik yang akan dirasakan oleh kita semua.

Namun, adakah penutup Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini benar-benar memberikan harapan dan sinar baru kepada parti tersebut? Atau ia tidak lebih sekadar perhimpunan melaungkan slogan dan acara berbalas pantun?

Secara kasarnya, ada tiga perkara menarik yang menimbulkan harapan yang melegakan.

Pertama, ucapan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang memberikan lontaran cabaran kepada sayap parti untuk memikirkan apakah tawaran sebenar Umno kepada masyarakat dan negara.

*Sumber Gambar: Free Malaysia Today

Ini perkara yang positif. Sayap-sayap Umno harus menerimanya dengan hati yang terbuka dan penuh rasa tanggungjawab.

Kedua, ucapan Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan yang menyeru pemuda Umno untuk tidak leka dan melihat situasi sekarang dari lensa yang lebih rasional dan praktikal.

Bukannya dibuai keseronokan dan keasyikan yang boleh menjerumuskan parti kepada kesusutan yang lebih teruk.

Ketiga, pembentangan oleh Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang menerangkan pelbagai pindaan kepada perlembagaan Umno.

Antaranya, penubuhan satu lembaga amanah bagi menguruskan harta dan pemilikan Umno, penurunan umur minimum keahlian Umno kepada 16 tahun serta pengenalan kategori ahli bersekutu yang terbuka kepada NGO dan mereka yang tidak mendaftar di peringkat cawangan atau bahagian.

Ketiga-tiga perkara ini adalah pemikiran yang sedap didengar. Namun, sudah cukupkan tiga perkara ini memberikan ruang untuk Umno menarik nafas lega? Atau Umno sebenarnya perlu segera berhenti berangan? 

Sekali pun gelombang yang menuntut perubahan besar-besaran dalam parti sememangnya wujud, namun masih kedengaran beberapa ungkapan dan sikap yang terus merisaukan. 

Misalnya, kepercayaan dan keyakinan mendalam bahawa Umno sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya umum, sekali gus merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH).

Tidak kurang yang menganggap bahawa sokongan sudah kembali berpihak kepada Umno. Malah, keyakinan bahawa Muafakat Nasional, setakat ini telah menyediakan jawapan yang dicari-cari oleh Umno.

*Sumber Gambar: Malaysia Kini

Terdapat empat sebab mengapa keyakinan-keyakinan sedemikian mesti dimatikan segera dan Umno perlu berhenti berangan.

Pertama, kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil yang lepas tidak menggambarkan bentuk dan sokongan yang tetap dalam pilihan raya umum akan datang. 

Ia boleh jadi sekadar satu isyarat dan penzahiran kemarahan pengundi kepada kerajaan PH.

Lebih-lebih lagi pengundi PH memahami bahawa undi kepada Barisan Nasional dalam mana-mana pilihan raya kecil yang lepas tidak akan menukarkan kerajaan. 

Sebaliknya, undi protes mereka tersebut mampu memberikan peringatan dan amaran untuk kerajaan meningkatkan prestasi mereka yang corot.

Kedua, Umno masih, dalam banyak keadaan, dipandu oleh aktor-aktor yang sama. Masih tentang Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi. 

Masyarakat ternanti-nanti apakah tips atau nasihat berguna yang boleh ditawarkan oleh tuan penasihat yang sudah pasti lebih sibuk bertarung dengan kenyataan dari kandang tertuduh di mahkamah.

Apakah pula hala tuju kritikal oleh tuan presiden. 

Tidak mungkin kita hanya mahu mendengar pekikan “Hidup Melayu” sahaja setiap kali habis berucap?

*Sumber Gambar: Malaysia Kini

Ketiga, Umno belum menawarkan apa-apa pembaharuan atau tawaran sebenar kepada masyarakat. 

Jika pilihan raya umum dibuat pada bulan hadapan, apakah tawaran segera Umno kepada orang Melayu dan Malaysia? 

Jika pilihan raya umum adalah dua tahun lagi, apa pula pelan dan strategi Umno kepada orang Melayu dan Malaysia pasca PH? Tidak ada. Belum ada. 

Sampai bila Umno ingin mengharapkan kegagalan PH untuk mengaut undi protes dalam usaha merampas kuasa? 

Keempat, Muafakat Nasional sebenarnya belum menjanjikan apa-apa. 

Setakat ini, Muafakat Nasional ini tidak lebih dari sekadar laungan emosi yang menyeru kepada perpaduan. Tidak lebih daripada itu. Sedangkan, orang Melayu, Malaysia dan negara ini secara keseluruhannya memerlukan sesuatu yang lebih konkrit dan jelas. 

*Sumber Gambar: UMNO Online

Umno, PAS dan mana-mana parti yang mahu menyertai gagasan Muafakat Nasional ini harus segera duduk berbincang dan mencanai idea baru yang bukan sahaja dapat menjawab isu masyarakat. 

Namun, memberi kesegaran baharu, tidak klise dan mampu menampilkan Muafakat Nasional sebagai ketumbukan baru politik yang matang dan bebas dari amalan politik naungan, politik wang dan ketaasuban membuta tuli.

Tatkala Bersatu sedang ketandusan pelapis, DAP yang semakin rasis dan PKR yang merupakan parti terbesar dalam PH sedang berantakan antara siapa ‘penyelamat’ parti dan siapa “pengkhianat” perjuangan, Umno dan pendukung Muafakat Nasional mesti segera bertindak. 

Jangan berangan, mula berperanan.

*Artikel ini juga diterbitkan dalam The Malaysian Insight

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here