Adakah Pengundi Kita Terlalu Beremosi?

Ditulis oleh Che Aidil Erfan dan Mohd Daud

0
843

*Sumber Gambar: Astro Awani

Ada banyak aspek yang boleh diperhalusi dalam menilai sikap dan pemikiran pengundi. Kajian serta disiplin yang mengkaji sentimen serta tingkah laku pengundi ini dikenali sebagai psepology.

Dalam konteks demokrasi Malaysia, ada banyak ruang untuk kita melihat sikap pengundi. Yang terbaru, sudah tentulah dalam PRK Tg. Piai yang baru beberapa minggu sahaja berlalu. PRK tersebut, seperti di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau, telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional. Malah, kemenangan BN di Tg. Piai sangat luar biasa dan menakjubkan apabila BN mendapat majoriti yang amat besar sebanyak 15,086 berbanding Pakatan Harapan yang hanya memperolehi majoriti tipis sebanyak 524 pada PRU ke-14. Begitu besar transisi dan pemindahan pengundi dari PH ke BN. Sudah tentu, walaupun PRK kali ini disertai oleh 6 penjuru, fokus utama perlawanan diberikan kepada BN dan PH.

*Sumber Gambar: Berita Harian

Apakah yang menyebabkan pengundi-pengundi ini berhijrah? Adakah kerana kecewa dan marah dengan Kerajaan PH yang tidak menunaikan janji? Ataupun manifesto alternatif yang ditawarkan oleh BN melalui gagasan Muafakat Nasional jauh lebih baik daripada PH? Jika pemindahan undi ini berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap kerajaan, sudah tentulah pokok pangkalnya adalah emosi. Jika kemenangan yang diperolehi pembangkang berpunca daripada tawaran yang lebih baik berbanding kerajaan, maka ia melibatkan pemikiran yang rasional oleh pengundi untuk memangkah calon no 2.

Tiada Alternatif Menarik

Jika kita teliti  semula tawaran manifesto kedua-dua parti ketika PRK Tg Piai, PH melalui Haji Karmaine Sardini menggariskan 5 fokus iaitu menangani kos sara hidup, isu berkaitan pencemaran alam dan sungai, memperbanyak rumah mampu milik, meningkat mutu perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan peluang pekerjaan. Manakala BN melalui Dr. Wee Jeck Seng hanya berjanji untuk menghantar beberapa orang warga emas menunaikan umrah ke tanah suci setiap tahun sambil berzikir alhamdulillah dan insya-Allah berulang-ulang kali dalam ceramahnya. Mungkin inilah impak mudah Muafakat Nasional yang menggunakan agenda ketuanan Islam untuk memenangi hati pengundi. 

Jelaslah, manifesto bukan penentu kemenangan BN di Tg. Piai. Walaupun tiada manifesto yang jelas daripada pembangkang sehingga ke hari pengundian, mereka berjaya menarik pengundi untuk berpihak kepada mereka. Barangkali kerana kecewa dan muak dengan janji yang ditaburkan, manifesto berstruktur PH dibakul-sampahkan. Bertitik tolak daripada kekecewaan ini, BN mengeksploitasi perkara ini sehabis baik dan menggunakan sentimen kemarahan rakyat untuk menjadikan mereka juara rakyat. 

Perbandingan Ceramah BN dengan PH
*Sumber Gambar: Buletin Asia

Rata-rata ceramah yang berlangsung sepanjang tempoh berkempen digunakan sehabis baik untuk mengkritik kerajaan. Modal Kerajaan PH gagal menunaikan janji diulang-ulang di atas pentas ceramah untuk memberi gelora emosi dalam kalangan rakyat. Secara kasarnya, selalu pemerhati bebas, kita boleh menyatakan bahawa tidak banyak bezanya mereka dengan kerajaan PH yang sering menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu. Bahkan, media sosial digunakan sehabis baik sebagai agen propaganda. Kebanyakan video atau poster yang dimuat naik ke laman-laman media sosial pembangkang semuanya menunjukkan kemarahan, kekecewaan dan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Tun Mahathir kini.

Sentimen-sentimen ini menyebabkan dengan mudah mereka mendominasi agen propaganda media sosial yang secara langsung mengubah pemikiran anak-anak muda yang kebanyakannya adalah pengundi atas pagar. Mungkin agak sukar untuk kita mendakwa bahawa para pengundi ini tidak berfikir panjang dalam meneliti satu-persatu secara mendalam apa yang ditawarkan oleh PH. Namun, keputusan PRK Tg. Piai yang lalu adalah satu garis penilaian yang baik untuk mendalami perkara ini. 

Emosi dan Kemarahan

Jika kita mengetepikan aspek emosi, ada yang berpendapat bahawa sudah tentu para pengundi tidak akan memilih Barisan Nasional. Tindakan sedemikian akan merugikan mereka sendiri. Mana tidaknya, Ahli Parlimen Pembangkang hanya memperolehi peruntukkan RM100,000 sahaja. Duit ini jugalah yang akan digunakan untuk semua aktiviti pembangunan masyarakat di kawasan parlimen tersebut. Malah, tidak akan ada pembaharuan yang signifikan yang dapat dilaksanakan kepada rakyat. Jumlah ini jauh lebih kurang jika dibandingkan dengan peruntukkan Ahli Parlimen Kerajaan iaitu sebanyak RM500,000, dan ditambah dengan peruntukkan RM200,000 untuk Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen tersebut.

Perkara ini turut diakui oleh seorang Ahli Parlimen Pembangkang dalam satu temu bual tertutup bahawa beliau tidak dapat berbuat apa-apa pun dengan peruntukkan sedemikian. Keadaan dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat sudah tentu menyukarkan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat. 

Jika dinilai daripada segi moral, ada yang berpendapat mereka yang rasional tidak akan mengundi Barisan Nasional. Sebanyak 35 kesalahan pilihanraya terutamanya berhubung bahan kempen telah dilakukan. Angka ini jauh lebih banyak daripada Pakatan Harapan yang hanya melakukan 20 kesalahan, seperti yang dikatakan SPR setakat 10 November 2019. 

*Sumber Gambar: My Two Cents Asia

Natijahnya, jelas faktor utama kemenangan BN di Tg. Piai adalah hasil kebolehan parti tersebut mengeksploitasi emosi pengundi untuk menumbangkan PH. Berbekalkan kemarahan tersebut, pengundi-pengundi hanya mahu BN untuk memerintah semula tanpa menilai apakah tawaran alternatif mereka. 

Walau bagaimana pun, kita harus menghormati pilihan pengundi. Mereka berhak memilih. Apakah pertimbangan yang mereka gunakan dalam memilih haruslah menjadi perkara yang benar-benar diberikan perhatian oleh semua parti politik. Emosi pengundi adalah pengajaran besar yang tidak boleh diambil enteng. Yang pasti, kemenangan BN di Tg. Piai adalah suatu tamparan hebat kepada Pakatan Harapan agar lebih serius dalam menunaikan janji, manifesto dan menyelesaikan masalah rakyat. 

** Che Aidil Erfan merupakan Ahli Parlimen Belia Malaysia WPKL dan aktivis belia.

**Mohd Daud merupakan Pengarah Penyelidik, Bait Al Amanah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here