Integriti Era Malaysia Baharu : Cakap Tak Serupa Bikin?

Ditulis oleh Muhammad Ilham Hafiz bin Azmi, Pelajar Tahun Pertama, LLB, UIAM dan Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidik, Bait Al Amanah.

0
455

*Kredit Gambar: People Matters Global

Hari Rabu 9 Mei 2018 menjadi titik bersejarah buat tanah air tercinta serta segenap warga negaranya. Kerajaan Barisan Nasional yang memegang tampuk pemerintahan negara selama lebih 60 tahun telah lemas dalam “Gelombang Rakyat” yang sudah terlalu mual dengan defisit integriti dan skandal kleptokrasi mega yang ditonjolkan. Dari kes-kes pecah amanah pada peringkat kepimpinan tertinggi, sehinggalah isu penyelewengan dana sejumlah RM10,142 yang diperuntukkan kepada Program Strategik Lautan Biru Kebangsaan oleh Exco BN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman menjelang Pilihanraya Umum ke-14. 

Lantas rakyat memilih kerajaan Pakatan Harapan dengan “harapan” mereka akan merawat defisit integriti tersebut dan memulihkan imej negara di persada dunia. Harapan rakyat, seperti kata-kata YAB Perdana Menteri, agar Malaysia dikenali sebagai negara integriti dan bukannya negara rasuah.

Kredit Gambar: Malay Mail

Sehingga kini, kira-kira sudah lebih 80 kali hari Rabu berlalu. Persoalannya, sejauh manakah harapan rakyat ini telah direalisasikan?

Jika kita imbas, seawal PH mengambil alih, mereka tidak sunyi daripada pelbagai isu integriti yang dilakukan oleh mereka sendiri. Misalnya, tuduhan salah laku dan rasuah ke atas pegawai Menteri Pertahanan, Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan skandal RM1.4 bilion bidaan yang diberikan kepada pihak yang mempunyai hubungan dengan beliau sehingga dikatakan sebagai punca kepada pemindahan KSU Kementerian tersebut, tuduhan ke atas Menteri Belia dan Sukan berhubung pemberian kontrak berjumlah RM7 juta dan pelbagai kes penipuan kelayakan akademik.

Dalam tuduhan ke atas YB Syed Saddiq misalnya, Menteri Belia dan Sukan telah membuat penjelasan tegas di Parlimen sehingga bersumpah dengan nama Allah yang beliau akan meletakkan jawatan jika disabitkan oleh bersalah oleh SPRM dengan tuduhan tersebut.

Biar apa pun tuduhan serta isu yang berlaku, terdapat beberapa perkara yang lebih besar yang mesti dinilai. Antaranya sejauh manakah kejayaan atau keberkesanan Kerajaan Pakatan Harapan dalam memastikan yang persepsi atau usaha memerangi isu integriti di Malaysia.

*Kredit Gambar: Halaman Facebook Otai Bersih

Terdapat beberapa perkara dasar yang baik dan jelas. Pertama, pemerkasaan SPRM dan pemantapan usaha pencegahan rasuah di Malaysia. Antaranya penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) pada 1 Jun 2018 bagi merancang dan menasihati kerajaan dalam hasrat memerangi rasuah. Inisiatif ini menggambarkan iltizam utuh kerajaan dalam merawat barah integriti yang sudah parah.

Menerusi GIACC, pengenalan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi menggantikan pelan-pelan integriti sebelum ini bakal memperlihatkan era baharu memerangi rasuah. Sebagai pelan yang lebih holistik, NACP mengandungi lebih 100 inisiatif yang tidak hanya memerangi rasuah secara terus seperti pemerkasaan kuasa pemantauan dan siasatan SPRM. Tetapi turut menitikberatkan soal pendidikan dan pembersihan setiap institusi kerajaan daripada defisit integriti. 

*Kredit Gambar: Jabatan Penerangan Negara

Malah, pindaan yang memasukkan Seksyen 17A Akta SPRM telah memperuntukkan liabiliti korporat kepada syarikat yang gagal mengambil ‘langkah-langkah yang wajar’ bagi memerangi rasuah. Ini adalah suatu perkembangan yang sangat progresif dan positif.

Pindaan akta sedemikian mampu meningkatkan penyertaan dan akauntabiliti sektor swasta dalam memerangi rasuah secara dalaman sekali gus mewujudkan tekanan antara pemain-pemain sektor swasta untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang pada peringkat dalaman sektor tersebut. 

Namun, soal ketelusan, kejujuran dan integriti sebuah negara bangsa tidak boleh hanya bergantung harap kepada iltizam ahli politik yang sifatnya sangat bermusim. 

Ahli politik acapkali melanggar janji sendiri demi kepentingan peribadi dan untuk meraih undi. Terdapat beberapa tindakan yang membuktikan perkara ini. Misalnya, pelantikan Puan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tanpa melalui pengesahan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama telah bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan. 

*Kredit Gambar: Berita Harian

Lantikan ini dilakukan atas dasar reformasi institusi. Namun, wujud fenomena yang membimbangkan setelah pelantikan ini dilakukan. Antaranya, pengguguran kes SPRM yang berprofil tinggi seperti kes YB Lim Guan Eng, dan kes penyalahgunaan dana RM1.5 bilion di Sabah oleh Datuk Seri Shafie Apdal. Pengguguran dan ketiadaan ketegasan dalam kes-kes ini dilihat sebagai kesan langsung daripada pelantikan tersebut. Kita tidak pasti sejauh manakah benarnya dakwaan sedemikian. 

Namun, politik, integriti dan pentadbiran kerajaan sangat berkait rapat dengan persepsi dan pandangan umum. Ia tidak boleh diketepikan sama sekali. Sudah tentu insiden sebegini memberi imej yang buruk kepada sebuah suruhanjaya yang sepatutnya bebas daripada sebarang bentuk pengaruh politik. Bukankah, “Keadilan tidak hanya perlu dilaksanakan, namun ia perlu dilihat sebagai dilaksanakan”. 

Tindakan punitif nampaknya tidak dapat memberikan kesedaran yang diharapkan kepada masyarakat secara meluas dan berterusan. Begitu juga pendekatan pendidikan yang sudah tentu menjadi tempang tanpa instrumen hukuman yang berkesan.

Usaha memerangi rasuah memerlukan ekosistem yang lengkap, yang mencakupi dan tetapi tidak terhad kepada, tindakan reaktif seperti mekanisme perundangan, serta mekanisme proaktif seperti pendidikan yang berkesan di setiap peringkat. Pada masa yang sama, penggunaan teknologi dan sistem digital adalah jalan keluar yang boleh membantu membaik pulih keadaan.

Indeks Persepsi Rasuah 2017
*Kredit Gambar: Transparency International

Kalau kita lihat negara jiran, Singapura, yang merupakan negara paling berintegriti di rantau Asia menurut laporan Korupsi Asia 2017 oleh Political and Economic Risk Consultancy, republik tersebut memperkenalkan konsep kejujuran intelektual (intellectual honesty). Ini bermaksud, rakyat memainkan peranan aktif dalam menjaga integriti perkhidmatan awam dan sektor swasta. 

Ia dilakukan menerusi amalan kendiri yang telus dan jujur serta menyuburkan kesediaan menegur mereka yang melakukan kesalahan integriti. Perkara ini hanya dapat dilakukan menerusi pembudayaan integriti yang teguh dari akar umbi. Maka tidak hairanlah, menurut Indeks Persepsi Rasuah 2017, Singapura menduduki tangga ke-6 daripada 180 buah negara dari segi ketelusan tadbir urus. 

Skor dan Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah 2017
*Kredit Gambar: Astro Awani

Persoalan yang lebih kritikal sekarang adalah, apakah langkah-langkah dan strategi tegas PH yang seterusnya untuk memerangi barah integriti yang berlaku? Bersumpah di dalam Dewan Rakyat, penukaran ketua pesuruhjaya SPRM dan pelancaran pelan integriti, sudah pastinya jauh dari mencukupi. 

*Artikel ini juga diterbitkan dalam Johor Press

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here