Identiti Islam Kosmopolitan: Iktibar dari Sejarah Malaysia 1000 Tahun

Ditulis oleh Naziehah Nazli

0
85

*Kredit Gambar: whenonearth.net

“Ibarat tin kosong, segolongan ekstremis yang melaungkan perjuangan di atas nama Islam hanyalah penunggang agama yang lebih fokus kepada perkara-perkara remeh, daripada amalan kehidupan seharian”

Prof. Madya Dr. Khairudin Aljuneid

Memetik kata-kata Prof. Madya Dr. Khairudin Aljuneid dari Jabatan Pengajian Melayu, The National University of Singapore (NUS) pada 3 Oktober 2019 lalu, fenomena Islamofobia yang berlaku pada masa kini sangat berkait rapat dengan imej negatif yang dibawa oleh golongan kecil ekstremis ini. 

Bertemakan Identiti Islam Kosmopolitan: Sejarah Islam Seribu Tahun, Prof. Madya Dr. Khairudin menyentuh soal sejarah kedatangan Islam di Asia Tenggara yang telah dilupakan majoriti masyarakat Islam kini. Kejadian yang dikenali sebagai Historical Amnesia ini telah menyumbang kepada keperibadian masyarakat Islam yang terpesong dari ajaran asal. Ditambah pula dengan fenomena Arabisasi dan Islamisasi, masyarakat Islam di Asia Tenggara sering terlupa akan ajaran sebenar agama, dan menyamakan budaya Arab itu sebagai Islam. 

Menurutnya lagi, Islam telah bertapak di Asia Tenggara kira-kira 1000 tahun, dan terdapat 4 gelombang Islamisasi; Gradualist, Populist, Reformist dan Triumphalist. Fasa Gradualist merupakan satu fasa di mana Islam disebarkan dengan sangat berhikmah dan progresif. Ahli Sufi pada zaman ini menggunakan pendekatan “mesra penduduk” dan menjadi salah seorang dari mereka serta mendalami budaya dan amalan penduduk kampung. Sebagai contoh, Wali Songo menggunakan wayang kulit yang merupakan sebahagian dari budaya orang Jawa dalam menyampaikan ajaran Islam.

Poster Siri Syarahan

Dari situ, kepercayaan yang dibina melalui keperibadian yang bercirikan Islam telah menarik minat ramai bagi mempelajari dan mendekati Islam, seterusnya membawa kepada fasa kedua, iaitu fasa Populist. Pada fasa ini, ajaran Islam tersebar dengan luasnya dan menarik lebih ramai pengikut. Dengan kehadiran penjajah ke Asia Tenggara, fasa Reformist mengambil alih dan telah berlakunya pembaharuan dalam pemikiran dan penyebaran Islam. Seterusnya, fasa yang terakhir iaitu fasa Triumphalist di mana kita dapat menyaksikan kini masyarakat Islam semakin tegas dalam mengamalkan Islam. Segelintir yang tidak dapat menerima perbezaan, akan terjerumus kepada aliran ekstremisme. Islam yang difahami, adalah Islam yang benar, dan apa-apa yang bertentangan dengan pemahaman mereka, akan dianggap salah dan sesat. 

Di sini kita dapat lihat bahawa imej negatif ini telah menyebabkan Islamofobia di kalangan masyarakat bukan Islam. Ditambah pula dengan isu politik yang sering dikaitkan dengan agama dan bangsa, Islam dianggap satu ajaran yang radikal dan tidak adil kepada golongan bukan Islam. Perkara ini boleh disangkal dengan mudah sekiranya sejarah penyebaran Islam dikaji semula. Penyebaran Islam sangat berkait rapat dengan masyarakat bukan Islam, dan tanpa mereka, tiadalah Islam. Sebagai contoh, seawal abad ke-8, masyarakat Cina di China telah menganuti agama Islam, seterusnya menyebarkan ajaran ke Asia Tenggara. Pengislaman di Tanah Jawa sebahagian besarnya disebabkan oleh masyarakat Cina.  

Ini membuktikan bahawa Islam bukanlah satu isu bangsa, tetapi merupakan penyebaran nilai-nilai universal yang sesuai bagi semua lapisan masyarakat, tidak kira bangsa, agama dan warna kulit. Amat penting untuk masyarakat Islam, terutama di Malaysia di mana isu agama sering dipolitikkan, untuk bangkit dan menunjukkan nilai sebenar Islam. Imej Islam Kosmopolitan melalui Malaysia yang bersatu padu perlu diterapkan dan dizahirkan.

*Kredit Gambar: Berita Harian

Orang Melayu, terutamanya sangat lemah lembut dalam pendekatannya, menyebabkan sejarah yang berlaku, dalam konteks penyebaran Islam dan pengamalan nilai-nilai Islam sangat terhad kepada penduduk setempat. Oleh itu, bagi memastikan imej Islam yang progresif di mata dunia, kita haruslah melangkaui sempadan global. Hubungan simbiotik di antara negara dan rakyat juga memainkan peranan penting dalam memastikan sejarah kegemilangan Islam berulang agar Islam Kosmopolitan menjadi kenyataan. 

Pemisahan Agama dan Bangsa

Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai peruntukan dalam Perlembagaan yang meletakkan agama dan bangsa dalam satu definisi. Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan mendifinisikan orang Melayu sebagai seorang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, mengamalkan budaya hidup Melayu dan beragama Islam. Peruntukan yang pada dasarnya diwujudkan sebagai satu simbol identiti Malaysia, kini telah menjadi satu sentimen ‘Melayu Islam’ yang semakin menebal dalam masyarakat Malaysia. Ditambah pula dengan hak istimewa orang Melayu yang dilindungi di bawah Perlembagaan yang sama, Islam sering diperalat oleh parti-parti politik bagi mendapatkan sokongan. 

Walaupun Melayu Islam akan terus menjadi identiti yang membentuk Malaysia, isu agama tidak seharusnya ditunggang pihak-pihak berkepentingan, terutama sekali mereka yang berada di tampuk kepimpinan yang berupaya untuk memanipulasi minda rakyat. Perlu diingat bahawa Islam merupakan satu agama yang membawa nilai-nilai kehidupan kepada masyarakat. Oleh yang demikian, perubahan perlu berlaku melalui pendekatan yang lebih holistik dan membumi.

Identiti Islam Kosmopolitan

Kosmopolitan, mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan unsur-unsur yang menyeluruh, bersifat sejagat dan tidak terbatas kepada unsur-unsur setempat. Apabila digabungkan, Islam kosmopolitan merupakan satu identiti fahaman dan kepercayaan agama yang universal dan inklusif. Jika diteliti kembali, Islam sejak dari awal penurunannya adalah bersifat sejagat dan universal, tetapi nilai-nilai ini telah ditelenggami arus permodenan dan perbezaan fahaman, terutamanya perbezaan yang terdapat pada mazhab yang diikuti masyarakat Islam. 

Amat penting untuk kita fahami sebab sebalik perbezaan mazhab yang terdapat kini. Mazhab merupakan satu manifestasi kebebasan berfikir yang sangat dianjurkan Islam. Sebagai agama yang tidak lapuk ditelan zaman, Islam memahami perbezaan budaya dan cara hidup sesuatu bangsa mengikut tempat dan peralihan zaman. Oleh sebab itu, masyarakat diberi kebebasan untuk berfikir dan menyesuaikan Islam dengan suasana hidup yang pelbagai, selagi tidak bertentangan dengan syariat-syariat Islam. Ini bermakna, kepelbagaian mazhab dalam Islam, sekiranya dihayati secara baik, merupakan suatu rahmat dan bukan satu bencana atau kelemahan. 

Perbezaan ini harus diraikan, dan dikaji bagi memastikan masyarakat hari ini tidak tertumpu hanya pada satu aliran sahaja. Di dalam buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Dr Asri ada menyebut bahawa terdapat beberapa pandangan mazhab yang sudah tidak relevan lagi, dan sebagai masyarakat Islam yang progresif, kita haruslah mengambil manfaat daripada pendapat dan mazhab yang lain. Dalam usaha mengangkat Islam di mata dunia, marilah kita mempersembahkan imej Islam kosmopolitan yang mudah dan praktikal seperti mana wajahnya pada zaman teragungnya, iaitu zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Prof. Madya Dr. Khairudin Aljuneid bersama Naziehah Nazli dan Emylia Atika

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here