Ucapan Ketua Pembangkang (Belanjawan 2020)

0
28

Kredit Gambar: Kementerian Kewangan Malaysia

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dalam Ucapan Ketua Pembangkang telah mengutarakan ketiadaan peruntukan untuk projek berimpak tinggi di Kelantan dan Terengganu menerusi Belanjawan 2020. Hal ini tidak memenuhi aspirasi pembangunan digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang mahukan kesinambungan projek berimpak tinggi.

Kajian separuh penggal RMKe-11 antara lain memberi tumpuan terhadap usaha merapatkan jurang pembangunan, terutama dalam kalangan beberapa negeri kurang maju. Ketika Sabah, Sarawak, Kedah dan Perlis mendapat peruntukan besar menerusi Belanjawan 2020, Ismail Sabri berkata, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS bagai terpinggir.

“Mana peruntukan untuk projek berimpak tinggi bagi Kelantan dan Terengganu seperti ditegaskan oleh Pakatan Harapan (PH) sendiri dalam Kajian Separuh Penggal RMKe-11?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Aktiviti Kluster Terpilih merentasi Wilayah,
berdasarkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi

Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang diberi laluan mencelah, menegaskan dua negeri berkenaan hanya menerima dua sekolah baharu iaitu satu di Tumpat, Kelantan dan sebuah lagi di Marang, Terengganu.

Turut bangun meminta laluan mencelah ialah Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang menyatakan rasa terkilan apabila kedua-dua negeri itu tidak mendapat peruntukan setimpal.

“Sebelum ini Kelantan dihina sebagai negeri paling miskin, tetapi peruntukan tidak diberi seperti negeri lain.

“Banyak projek yang dijanjikan masih tertangguh, khususnya tebatan banjir dan sekarang kita berdepan dengan musim banjir yang sudah banyak kali saya sebut,” katanya.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi

Meneruskan perbahasan, Ismail Sabri membangkitkan persoalan adakah keadaan itu mencerminkan ‘hukuman’ kepada rakyat Kelantan dan Terengganu.

“Saya nak tanya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) sama ada ini adalah hukuman terhadap rakyat Kelantan dan Terengganu kerana mengundi PAS (pada Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Apakah itu sebabnya dua negeri ini dipinggirkan? Jika Belanjawan 2020 mendiskriminasi Kelantan dan Terengganu, saya rasa inilah masa untuk memberikan royalti minyak 20 peratus kepada dua negeri itu,” katanya.

Turut dibangkitkan ialah ketiadaan dasar baharu atau inisiatif khas berskala besar diumum bagi menambah baik kehidupan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar serta golongan memerlukan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbahas di Dewan Rakyat
Sumber: Facebook Ismail Sabri Yaakob

Apa yang ketara, tegasnya, ialah pelepasan cukai dan pelbagai bantuan yang bakal dinikmati penggerak sektor perniagaan dan pelabur luar.

“Dalam erti kata lain, Belanjawan 2020 adalah ‘Belanjawan Kapitalis’ yang meminggirkan masyarakat luar bandar dan pedalaman yang lebih memerlukan perhatian,” katanya.

*Artikel ini yang ditulis oleh Mohd Azrone Sarabatin telah diterbitkan dalam Berita Harian.

Ucapan penuh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pembangkang dilampirkan di bawah:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here