Komentar Belanjawan 2020

0
47

*Kredit Gambar: Leaderonomics

Tahun 2020 merupakan tahun keramat untuk semua rakyat Malaysia. Wawasan 2020 adalah impian besar untuk menjadikan Malaysia negara maju. Malah, 2020 adalah tahun yang menjadi asas perancangan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-11. 

Maka, tidak hairanlah rakyat Malaysia meletakkan harapan yang sangat tinggi agar Belanjawan 2020 menawarkan yang terbaik untuk memastikan Rancangan Malaysia Ke-11 tercapai malah negara tersedia untuk maju ke hadapan dalam dekad baharu. 

Namun, seperti majoriti kajian yang membuktikan rasa tidak puas hati dan kecewa sebahagian besar rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan, respons terhadap Belanjawan 2020 juga penuh dengan kekecewaan. Ternyata harapan hanya tinggal harapan. 

*Kredit Gambar: Kementerian Kewangan Malaysia

Pertama, peruntukan bagi Belanjawan 2020 sebanyak RM297 bilion ini jauh lebih kecil berbanding perbelanjaan kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM316 bilion tahun 2019. 

Rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa setakat itu sahaja yang kerajaan boleh tawarkan. Walaupun pada hakikatnya ekonomi negara kini berhadapan risiko pertumbuhan yang perlahan, nilai mata wang Ringgit yang semakin lemah bukan sahaja berbanding mata wang utama dunia tetapi juga mata wang serantau dan indeks saham yang terus menurun mencecah paras terendah dalam masa 4 tahun.

Kedua, tiada pencetus perubahan atau ‘game changer’ untuk memacu ekonomi ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

*Kredit Gambar: Pejabat Perdana Menteri Malaysia

Memandangkan kedudukan daya saing global Malaysia jatuh ke kedudukan ke-27 dalam kalangan 141 negara dalam Laporan Daya Saing Global 2019 Forum Ekonomi Dunia, pencetus perubahan amat signifikan dalam memastikan kedudukan Malaysia tidak terus merosot pada tahun 2020. 

Ketiga, struktur pendapatan hasil semasa kerajaan persekutuan seperti yang disampaikan dalam Belanjawan 2020 amat membimbangkan.

Dengan ketiadaan one-off dividen khas dari Petronas, kehilangan dividen dari aset-aset kerajaan yang telah terjual, cukai pendapatan petroleum yang mengecil serta pungutan cukai SST yang sub-par iaitu hanya mencapai RM28.2 bilion atau sekadar 64% dari pungutan GST yang direkodkan tiga tahun sebelumnya, hasil kerajaan persekutuan diunjurkan menguncup sebanyak 7.1% bagi tahun 2020 setelah mengembang sebanyak 13.1% pada tahun 2019. 

Ini menggambarkan sistem pungutan hasil yang begitu tidak stabil. Jelasnya kerajaan Pakatan Harapan masih tercari-cari satu sistem percukaian yang dapat menjanjikan pungutan yang stabil tetapi masih dengan keegoan tidak mahu menerima hakikat bahawa sistem GST perlu dikembalikan semula. 

Keempat, kekurangan hasil kerajaan menjejaskan keupayaan kerajaan untuk meningkatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi keluarga B40 yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup. 

Peruntukan RM1,000 setahun untuk setiap isi rumah yang layak jauh lebih rendah dari RM2,000 yang dijanjikan oleh Barisan Nasional pada tahun 2018. Walaupun BSH untuk individu bujang berumur 40 tahun ke atas dinaikkan kepada RM300, namun jumlah ini juga lebih rendah dari RM450 yang dibayar pada tahun 2017 dan RM600 yang dijanjikan untuk tahun 2018. 

*Kredit Gambar: Kementerian Kewangan Malaysia

Kelima, Belanjawan 2020 tiada pelan kontigensi komprehensif, tetapi hanya menyatakan dengan begitu ringkas bahawa “kerajaan bersedia menimbang untuk mengambil langkah-langkah kontigensi yang diperlukan bagi menyokong atau memangkin semula pertumbuhan ekonomi negara”. 

Kerajaan Pakatan Harapan jelasnya tidak melakukan persediaan mantap untuk menghadapi kebarangkalian besar kemelesetan ekonomi dunia berpunca daripada persekitaran ketegangan perdagangan, pergerakan mata wang, hutang korporat, serta keluk hasil yang terbalik. Sebagai negara yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak akan terkecuali daripada impak kemelesetan yang tentunya akan menjejaskan segala impian kemakmuran bersama. 

Keenam, Belanjawan 2020 gagal memperuntukkan sesen pun untuk bagi menangani polarisasi kaum yang semakin menebal selepas PRU-14. Hanya satu kenyataan “sukan boleh menyatupadukan rakyat” tanpa sebarang inisiatif konkrit secara langsung untuk mengutamakan perpaduan. 

Hal ini tidak sehaluan dengan “dasar dan inisiatif untuk memperkukuh integrasi sosial dan perpaduan nasional” serta perlaksanaan “indeks perpaduan nasional” yang diutarakan dalam Kajian Separuh Penggal dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (KSP RMK11). Adakah integrasi rakyat Malaysia yang merupakan asas Kemakmuran Bersama tidak dihiraukan oleh Kerajaan? 

Ketujuh, ketiadaan laporan berkenaan dengan prestasi pencapaian dan impak inisiatif Belanjawan 2019. Sebagai Kerajaan yang mengutamakan prinsip-prinsip cekap, akauntabiliti dan telus, rakyat perlu mengetahui sejauh mana pengagihan dan penyampaian dilaksanakan dengan efektif dan efisien. 

Kredit Gambar: Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas

Kelapan, Belanjawan 2020 secara jelasnya tidak dapat memastikan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dijayakan. Contoh utama ialah negeri Kelantan dan Terengganu dipinggirkan dalam Belanjawan 2020. Tonggak Ketiga KSP RMK11 adalah “Menuju ke arah Pembangunan Wilayah yang Seimbang” iaitu penekanan yang lebih besar kepada negeri yang kurang membangun, termasuk Kelantan dan Terengganu. 

Adalah diingatkan bahawa Belanjawan 2020 merupakan belanjawan terakhir bagi tempoh RMK11 sebelum RMK12 dirancang. Justeru, di manakah peruntukan untuk inisiatif projek berimpak tinggi untuk Wilayah Timur terutamanya di Negeri Kelantan dan Terengganu? 

Kredit Gambar: Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas

Kesembilan, terdapat mekanisme inisiatif yang tidak masuk akal malah kelakar dalam Belanjawan 2020. Contohnya, #GraduanKerja iaitu graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima. 

Dasar ini dilihat akan membuka ruang salah guna yang tidak terkawal. Sepatutnya, peruntukan untuk graduan ini dilaburkan dengan bijak dalam program latihan semula atau peningkatan kemahiran untuk memartabatkan kebolehpasaran graduan dan meningkatkan sumbangan modal insan. 

Kesepuluh, Belanjawan 2020 kerap menyalahkan kerajaan sebelumnya walaupun sudah hampir dua tahun kerajaan Pakatan Harapan memerintah. Rakyat jelas sudah bosan dengan alasan basi yang diulang berulang kali seperti broken record

Hentikanlah mencari kambing hitam untuk menyembunyikan ketidakcekapan Pakatan Harapan dalam menguruskan ekonomi. Hutang kerajaan persekutuan dijangka terus meningkat sebanyak RM58 bilion lagi kepada RM799.1 bilion bagi tahun 2019 setelah naik sebanyak RM54 bilion pada tahun 2018. 

Menteri Kewangan Malaysia menyampaikan Belanjawan 2020
Kredit Gambar: Harian Metro

Secara kesimpulannya, saya melihat belanjawan ini, sekali pun mempunyai kebaikan dari segi peningkatan peruntukan-peruntukan tertentu, ia sebenarnya tidak menyediakan idea-idea besar yang penting untuk negara kita. Khususnya dalam memastikan negara kita bersedia untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here