Saranan Cukai Kekayaan

Oleh Benedict Weerasena

0
579

“Cukai progresif adalah kunci untuk memacu pertumbuhan ekonomi sambil menutup jurang antara golongan kaya dan miskin.”

Joseph Stiglitz, pemenang Hadiah Nobel ekonomi

Kajian demi kajian telah menunjukkan bahawa pengagihan kekayaan di negara kita masih tidak mencukupi dengan jurang pendapatan dan kekayaan yang ketara dari segi kumpulan pendapatan dan wilayah. Contohnya, Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) merekodkan nilai mutlak jurang pendapatan isi rumah antara T20 dengan B40 dan M40 meningkat hampir dua kali ganda berbanding dua dekad lalu. Sekiranya perbandingan dilakukan dari tahun 1970 sehingga tahun 2016, jurang pendapatan sebenar antara isi rumah T20 dan B40 telah meningkat daripada kurang daripada RM4,000 kepada lebih daripada RM12,000. Malah, jurang pendapatan sebenar antara isi rumah T20 dan M40 juga meningkat daripada lebih RM2,000 sehingga hampir RM10,000 dalam tempoh yang sama, manakala jurang pendapatan isi rumah sebenar M40 dan B40 juga menunjukkan peningkatan. Tambahan pula, 50 orang terkaya di Malaysia mempunyai jumlah kekayaan sebanyak AS $70 bilion atau lebih daripada RM292 bilion manakala jumlah kekayaan B40 hanya RM20 bilion.

Selain itu, Buku Data Kekayaan Global 2018 atau “Global Wealth Databook 2018”yang diterbitkan oleh Credit Suisse melaporkan bahawa index Gini pengagihan kekayaan Malaysia adalah 82% yang menunjukkan ketidakseimbangan kekayaan yang sangat tinggi pada kedudukan ke-23 antara 174 negara. Hal ini adalah disebabkan min kekayaan untuk satu orang dewasa (mean wealth per adult) sebanyak AS$ 27,970 (RM 116,845) yang sangat tinggi berbanding median kekayaan pada AS$ 7,000 (RM 29,242). Tambahan pula, 0.2% daripada rakyat dewasa Malaysia memiliki kekayaan lebih daripada AS$ 1 juta (RM 4.18 juta) berbanding 60.6% yang memiliki kekayaan kurang daripada AS$ 10,000 (RM 41.7 ribu). Hal ini menonjolkan kesenjangan kekayaan yang sangat besar dan akan semakin membesar jika tiada inisiatif khusus diambil oleh kerajaan. 

Dengan itu, Laporan Kekayaan 2018 atau “Wealth Report 2018”yang diterbitkan oleh firma perundingan hartanah Knight Frank menjangkakan bilangan individu amat kaya bernilai AS$ 5 juta (RM 21 juta) ke atas akan meningkat 65% daripada 7,100 pada tahun 2017 kepada 11,750 dalam tempoh 5 tahun. Mengikut laporan yang sama, 43% daripada bilangan individu ultra-kaya atau “ultra-high-net-worth individuals”(UHNWI) merancang melabur dalam sektor hartanah antarabangsa, yang merupakan peratusan tertinggi di seluruh dunia. 45% pula merancang melabur dalam hartanah tempatan. Hal ini membuktikan bahawa kekayaan berlebihan individu ultra kaya yang memiliki aset bersih lebih daripada AS$ 50 juta (RM 209 juta) sepatutnya dikenakan cukai bagi meningkatkan hasil kerajaan seiring dengan mengurangkan kesenjangan kekayaan. Mereka yang berpendapatan dan mempunyai kekayaan yang tinggi patut berkongsi lebih banyak lagi bagi membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik. 

Premis ini bertindak sebagai asas keperluan cukai kekayaan. Malaysia boleh mengikut jejak langkah Negara Sepanyol yang mengenakan cukai kekayaan terhadap semua aset bersih termasuk : 

  1. Hartanah
  2. Aktiviti profesional
  3. Deposit bank
  4. Insurans dan sumber pendapatan sementara
  5. Aset mewah seperti: perhiasan, kereta lumba, kapal layar, kapal terbang
  6. Harta seni lukisan dan barang antik
  7. Hak diraja, konsesi pentadbiran dan hak harta intelek
  8. Pilihan kontrak dan baki hak ekonomi

Berdasarkan bilangan individu amat kaya atau “high-net-worth individuals”(HNWI) yang direkodkan oleh  Buku Data Kekayaan Global 2018 yang diterbitkan oleh Credit Suisse serta cadangan pengenaan kadar cukai progresif 0.5%-1.75% terhadap individu yang bernilai lebih daripada RM10 juta,  anggaran jumlah kutipan cukai adalah RM13.186 bilion. Jikalau kadar cukai progresif yang lebih tinggi dikenakan iaitu pada kadar 1.0%-3.5%, anggaran jumlah kutipan cukai adalah RM26.373 bilion, berdasarkan Jadual 1 yang dilampirkan di bawah. 


Data Bilangan Individu dan Kategori Aset Bersih (AS$ Juta) bersumberkan Buku Data Kekayaan Global 2018 atau “Global Wealth Databook 2018”yang diterbitkan oleh Credit Suisse. Semua pengiraan lain (Purata Aset Bersih & Jumlah Kutipan Cukai) dilaksanakan oleh Penganalisa Ekonomi Bait Al-Amanah. Senario pertama (1) mencadangkan kadar cukai yang lebih rendah, berbanding dengan senario kedua (2) 

Justeru, jumlah kutipan ini akan sangat membantu meningkatkan hasil kerajaan yang semakin berkurangan akibat penghapusan cukai GST.  Seperti yang dilaksanakan oleh negara Sepanyol, cukai kekayaan ini dilaksanakan untuk sementara waktu sahaja sehingga  kedudukan kewangan negara lebih stabil. Dengan itu, mekanisma cukai kekayaan ini boleh disesuaikan dengan beberapa ciri-ciri berasaskan cukai kekayaan yang dijalankan oleh Negara Sepanyol dan Perancis, iaitu: 

  1. Pemastautin membayar cukai kekayaan ke atas aset mereka di seluruh dunia tetapi berpeluang mendapat pengecualian cukai
  2. Bukan Pemastautin hanya bertanggungjawab membayar cukai ke atas aset bersih di negara Malaysia tetapi tidak berhak mendapat sebarang pengecualian cukai, serta tertakluk kepada terma perjanjian cukai antara negara asal dan negara Malaysia. 
  3. Sesetengah aset dikecualikan daripada cukai kekayaan termasuk:-
  4. Barangan rumah (tetapi tidak termasuk permata, kenderaan, kapal layar, seni lukisan dan barangan antik)
  5. Perniagaan kecil yang dikendalikan oleh pemilik
  6. Hak pencen
  7. Hak harta intelek pemilik
  8. Aset perniagaan (Bagi aset yang layak sebagai aset perniagaan, aktiviti tersebut mestilah menjadi sumber pendapatan utama pembayar cukai, iaitu pendapatan dari perniagaan itu mestilah sekurang-kurangnya 50% dari pendapatannya yang boleh dikenakan cukai) dan kegiatan itu harus dilakukan oleh pembayar cukai sendiri akaun dan secara kebiasaan.

Justifikasi keperluan cukai kekayaan di negara Malaysia adalah cukai ini dikenakan terhadap aset yang tidak produktif. Maka, cukai kekayaan berfungsi sebagai faktor penolak pengukuhan positif atau ‘positive reinforcement’ untuk lebihan kekayaan digunakan secara produktif dalam pelaburan kapital seperti pelaburan dalam teknologi dan mesin. 

Di samping itu, cukai kekayaan yang dikenakan terhadap aset hartanah akan menjadi faktor penolak terhadap pembelian rumah kedua ataupun rumah ketiga. Hal ini penting untuk  mengurangkan permintaan sektor hartanah mewah seperti yang dibuktikan oleh kajian Knight Frank dan mengalihkan kecenderungan pemaju hartanah untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat jelata terutamanya untuk keluarga muda dari golongan B40 dan M40. 

Dengan cukai kekayaan yang progresif, polisi kerajaan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesenjangan pendapatan serta ketidakseimbangan kekayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Prinsip ini sebenarnya selaras dengan pembayaran zakat, terutamanya dari segi Faedah Ijtimaiyyah iaitu sosial kemasyarakatan. Contohnya, pembayaran zakat bererti memperluaskan peredaran ekonomi dari segi harta benda atau wang, kerana ketika harta dibelanjakan maka putarannya akan meluas dan lebih banyak pihak terutamanya yang paling memerlukannya akan menerima manfaat. Tambahan pula, sebahagian kutipan hasil zakat adalah untuk menyediakan keperluan yang diperlukan dalam bekerja, menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendidikan dan tempat latihan para pekerja. Justeru, pengenalan cukai kekayaan bukanlah konsep yang baru di negara Malaysia dan tidak patut dipandang sebagai polisi yang mustahil diimplementasikan. 

Di samping itu, tanggapan bahawa cukai kekayaan akan mengurangkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang akibat kekurangan dana modal bukanlah kebenaran mutlak berdasarkan data penyelidikan. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), selepas menganalisis kadar cukai di negara-negara OECD antara tahun 1981 dan 2016 menghasilkan konklusi bahawa tiada hubungan kukuh antara sistem cukai yang progresif dan pertumbuhan ekonomi. Sesungguhnya, kajian itu menerangkan bahawa bagi negara-negara yang mahu mengagihkan semula kekayaan, mungkin terdapat ruang untuk menjadikan cukai pendapatan lebih progresif tanpa menjejaskan pertumbuhan.

Satu lagi tanggapan silap berkenaan dengan impak cukai kekayaan adalah ia akan mendatangkan masalah penarikan keluar modal atau “capital flight”.  Satu kajian oleh Persatuan Sosiologi Amerika pada tahun 2016 mendapati bahawa walaupun kenaikan cukai kadar teratas yang besar mungkin menyebabkan beberapa jutawan berpindah dari negara yang mengenakan cukai tinggi kepada negara lain yang mengenakan cukai rendah, jumlah jutawan yang akan berpindah adalah tidak signifikan. Jutawan berpindah untuk tujuan cukai sekitar 2.2% pada masa itu. Malah, dalam apa jua keadaan, kadar penghijrahan antara negara umumnya lebih rendah untuk jutawan, iaitu pada 2.4%, berbanding dengan penduduk umum, pada 2.9%. Justeru, pengenalan cukai kekayaan di Malaysia kurang cenderung mengakibatkan penarikan keluar modal yang ketara.  

Secara konklusi, cukai kekayaan patut diperkenalkan untuk mengatasi masalah kesenjangan kekayaan, meningkatkan hasil kerajaan serta membantu negara Malaysia membayar balik hutang negara yang tinggi. Sekiranya cukai ini dilaksanakan dengan berjayanya, beban cukai pendapatan terhadap golongan B40 yang menjejaskan peluang mobiliti sosial diharapkan dapat dikurangkan pada masa hadapan. Marilah kita sama-sama memperjuangkan masa depan negara Malaysia yang lebih seimbang, demi “Merancakkan Pembangunan, Meningkatkan Pengagihan, Kalis Masa Depan”! 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here