Sektor Pelancongan Johor: Potensi Baharu Ekonomi

Oleh Nor Syakinah Md Nukman (Persatuan Intelektual Muda Johor)

0
814

*Gambar yang menunjukkan tempat menarik Johor ini dipetik daripada Tourism Johor

Pembangunan sektor ekonomi negeri Johor kini semakin pesat dan dilihat berada dalam kelas yang tersendiri. Pertumbuhannya yang semakin rancak dari tahun ke tahun terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pada tahun 2016 sahaja, Johor merupakan penyumbang ke-4 ekonomi Malaysia dan penyumbang ke-3 terbesar bagi sektor-sektor seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

Pertumbuhan yang memberangsangkan ini disumbangkan oleh beberapa faktor. Antaranya, ekonomi Johor tidak hanya bergantung pada satu sektor sahaja. Sebaliknya turut disokong oleh kerancakan sektor pelancongan yang semakin pesat membangun di negeri ini.

Malah, dasar Kerajaan Negeri yang dilihat progresif dan inklusif turut menjadi pelonjak kepada pencapaian tersebut.

Sektor pelancongan Johor kini sedang diangkat sebagai sektor yang bakal menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Johor. Lebih-lebih lagi apabila sektor ini mencatatkan perkembangan yang positif dari tahun ke tahun.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Johor, didapati kedatangan pelancong pada tahun 2016 dari Singapura sahaja mencatatkan peratusan paling tinggi iaitu sebanyak 76.8% dari jumlah keseluruhan.

Manakala kedatangan pelancong dari Indonesia menyumbang sebanyak 9.1% kemudian diikuti dengan negara China iaitu sebanyak 6.2%.

Jika diteliti, faktor-faktor yang menarik kemasukan ramai pelancong di Johor ini pelbagai.

Pertama, Johor merupakan pintu masuk utama dari selatan Malaysia. Jadi tidak hairanlah, peratus kedatangan warga Singapura ke Johor yang paling tinggi.

Kedua, Johor mempunyai kepelbagaian produk pelancongan yang menarik. Misalnya, kewujudan pusat beli belah yang terkemuka seperti gedung Ikea yang terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Tebrau.

Malah, Johor turut mempunyai syurga membeli belah seperti Johor Premium Outlets (JPO), Paradigm Mall dan terbaharu B5 Johor Street Market yang pembinaannya telah dilancarkan pada 13 Januari yang lalu.

Selain itu, Johor mempunyai pelbagai taman tema yang menarik dan unik seperti Legoland Malaysia dan Sanrio Hello Kitty Town.

Dalam erti kata lain, sektor pelancongan di Johor bukan sahaja menyediakan pakej pelancongan yang sesuai untuk dinikmati oleh golongan dewasa malah golongan kanak-kanak juga mendapat manfaatnya.

Dan yang lebih penting, kita mesti sedar bahawa pelancongan tidak semestinya bertujuan untuk berhibur semata-mata. Ada kalanya, pelancong berkunjung ke tempat kita untuk melihat tinggalan lama yang bersejarah. Dalam hal ini, Kota Tinggi merupakan daerah yang kaya dengan warisan silam, yang sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung luar untuk menggali khazanah ilmiah yang ada di Johor.

Memandangkan kesan-kesan sejarah seperti monumen dan bangunan bersejarah yang ditinggalkan di Kota Tinggi masih kekal dan dijaga dengan baik oleh Kerajaan Negeri, ia telah menjadi sebuah pusat warisan sejarah Johor yang sering dilawati oleh pelancong dan pengkaji luar.

Malah, seperti yang kita ketahui, Johor adalah antara negeri yang terkenal dengan persekitaran yang bukan sahaja lestari dan bersih. Tetapi keindahan alam semula jadinya amat unik, memukau dan kekal terpelihara seperti Taman Negara Endau-Rompin.

Taman Negara Tanjung Piai pula adalah antara taman negara yang terkenal dengan hutan paya bakau pesisir pantai. Malah, Taman Negara ini merupakan titik Penghujung Selatan Tanah Besar Benua Asia yang mampu menawarkan pengalaman yang tidak ada di tempat lain.

Pada masa yang sama, Mersing pula adalah salah sebuah daerah yang memiliki keunikan tersendiri dengan alam semula jadi dan pulau-pulau yang sangat indah seperti Bukit Lanun, Pulau Harimau, Pulau Rawa, Pulau Pemanggil dan Pantai Air Papan.

Dengan adanya kepelbagaian produk pelancongan ini, Johor boleh dikatakan berada dalam kedudukan yang strategik dan bersesuaian untuk muncul sebagai satu destinasi pelancongan pilihan.

Menyedari kelebihan ini, Kerajaan Negeri memberikan banyak peruntukan untuk sektor pelancongan. Dalam Bajet 2018 misalnya, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Projek Desaru Coast di Kota Tinggi, yang meliputi hotel, resort premium, dua buah padang golf, taman tema air, perkampungan beli belah dan sebagainya.

Malah pada tahun 2018, Kementerian Kerja Raya telah meluluskan projek menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru yang melibatkan laluan dua lorong menjadi empat lorong yakni menjadikan dua lorong bagi kedua-dua hala.

Sekalipun Kerajaan Negeri dilihat amat memberikan perhatian dan memandang serius perkara ini dengan memberikan pelbagai sokongan serta peruntukan kepada negeri Johor. Orang awam seperti kita juga harus memainkan peranan.

Malah, kita semua boleh berfungsi untuk bersama-sama mempromosikan negeri Johor yang kita cintai ini kepada orang luar. Tunjukan dan kongsikan kepada orang luar segala kelebihan dan keistimewaan yang ada di Negeri Johor. Biar mereka tahu, kita mempunyai lebih dari sekadar kacang pol dan mee rebus. Tetapi pelbagai lagi tarikan yang mampu menggamit jiwa dan minda para pengunjung.

Sudah tiba masanya kita bersama-sama memastikan sektor pelancongan Johor diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Siapa yang tidak akan berbangga melihat negeri tercinta ini dilawati ramai pengunjung dari luar?

*Artikel ini juga telah diterbitkan dalam Berita Daily dan Utusan Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here