Kedudukan Sekolah Agama Di Johor : Status Quo dan Masa Depan

Oleh Natasha Azmi & Nor Syakinah Md Nukman (Persatuan Intelektual Muda Johor)

0
1071

*Gambar ini dipetik daripada Akaun Twitter Johor Press 

Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang memartabatkan ilmu sehingga digelar sebagai Hab Pendidikan Serantau. Misalnya, di Pagoh terdapat Hab Pendidikan Tinggi manakala di Pasir Gudang pula terdapat Hab Kemahiran Johor dan di Iskandar Puteri terdapat EduCity yang menghimpunkan pelbagai universiti dan kolej dari luar negara. Ini termasuklah Southampton University dan Reading University dari UK dan Netherland Institute of Maritime dari Belanda.

Hal ini menunjukkan Johor telah berjaya menjadi sebuah negeri yang kaya dengan tradisi ilmu dan serius dalam usahanya untuk memartabatkan pendidikan yang berkualiti. Tetapi adakah Johor turut memandang serius dan memartabatkan sekolah agama ke arah yang lebih baik? Persoalan ini memerlukan satu penelitian yang objektif dan mendalam.

Umum mengetahui, Johor merupakan negeri pertama yang memperkenalkan pendidikan sekolah agama. Ia diwujudkan atas perintah DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar. Dan kini, sistem pendidikan sekolah agama Johor sudah mencecah usia 100 tahun, atau lebih.

Secara struktur dan bidang kuasanya, sistem sekolah agama di Johor ditadbir terus oleh Kerajaan Negeri melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor. Penubuhan sekolah agama ini pada asalnya bertujuan memastikan kanak-kanak Islam di Johor mendapat didikan agama yang teratur dan mengikut sukatan yang betul.

Kalau dinilai berdasarkan komitmen serta pelan yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri setakat ini, terdapat beberapa kesimpulan awal yang dapat dibuat.

Pertama, ia menerima peruntukan yang besar dan sentiasa bertambah dari setahun ke setahun daripada Kerajaan Negeri.

Kedua, wujud pelbagai inisiatif dan penambahbaikan dalam aspek kebajikan serta tenaga pengajar sekolah-sekolah agama. Misalnya, dalam bajet 2016, guru-guru sekolah agama telah menerima insentif khusus sebanyak RM1,850.

Seterusnya, menyedari keperluan dan kepentingan kitab bagi pelajar-pelajar sekolah agama di Johor. Skim Pinjaman Kitab tetap diteruskan dengan melibatkan seramai 98,430 orang pelajar. Dengan penambahbaikan Skim Pinjaman Kitab ini membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaatnya.

Ketiga, segala infrastruktur sekolah agama kini ditambah baik dan diperkemaskan. Menurut perancangan Kerajaan Negeri, sebanyak 77 buah sekolah agama telah ditambah baik dan dibina dalam Fasa 4. Dan dalam Fasa 5, seperti yang dinyatakan dalam bajet 2018, sebanyak 30 sekolah agama lagi akan dibina di seluruh Johor.

Terbaru, Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin telah melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Agama Kerajaan Negeri (SAKJ) bagi SAKJ Parit Jamil dan Parit Keroma Darat Muar melibatkan kos RM8.5 juta.

Keempat, keseriusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sekolah agam turut terlihat dengan keputusannya untuk mengambil alih dan memantau penyelenggaraan 65 buah sekolah agama di tanah-tanah rancangan FELDA Johor dengan peruntukan sebanyak RM1.03 juta.

Kelima, bagi memperkasakan lagi sekolah agama, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran berasaskan Aplikasi Digital. Bagi peringkat awal ini, hanya 4 buah sekolah sahaja yang terlibat sebelum digunakan pakai ke 600 buah sekolah yang lain.

Revolusi pendidikan yang ingin diketengahkan ini dilihat lebih bersifat interaktif. Dengan adanya aplikasi digital yang boleh diakses menggunakan peranti tablet ia dapat memudahkan pelajar dalam urusan pengajaran dan pembelajaran mereka.

Kesemua ini menunjukkan kepada kita bahawa sekolah Agama di Johor tidak terabai atau dipinggirkan sama sekali. Malah, sentiasa mendapat perhatian dan fokus yang khusus dari Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri sedar hanya melalui sekolah agama bukan sahaja telah menjadi sebahagian dari sejarah penting negeri Johor. Malah, ia merupakan satu institusi orang Melayu yang sangat penting yang mampu memberi kekuatan dalam usaha untuk membentuk masyarakat yang berakhlak mulia.

Malah, ia merupakan sistem yang tersusun dalam usaha besar Kerajaan untuk memastikan lahirnya generasi baru yang seimbang dari segenap aspek tidak kira dari segi jasmani mahupun rohani.

Perkara ini sekali gus menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang secara membuta tuli menuduh kononnya sekolah agama di Johor telah terpinggir.

Yang perlu difikirkan secara mendalam adalah, apakah wujud jaminan dan komitmen di pihak yang menuduh tersebut, bahawa jika pihak pembangkang mentadbir Johor, fokus dan perhatian yang sama akan diberikan kepada sekolah agama Johor?

Kesemua ini merupakan isu serius yang harus difikir secara rasional, berobjektif dan tidak politikal. Jika tidak, yang rugi dan melepas, adalah anak-anak Johor sendiri.

*Artikel ini juga telah diterbitkan dalam BeritaDaily 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here