Johor Peruntukan 1 Juta Untuk Usahawan Digital Cina

By Dhia Hani & Nor Syakinah Md Nukman (Penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor)

0
621

Gambar dipetik daripada Berita Jauhar 

Pada 22 Oktober 2017 telah diadakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Dana Usahawan Digital kepada Belia Tiong Hua. Majlis tersebut berlangsung di Kolej Universiti Selatan, Skudai anjuran Yayasan Sultanah Fatimah. Turut hadir Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah.

Dalam majlis yang disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato Mohamed Khaled bin Nordin tersebut, beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor menyalurkan peruntukan dana Usahawan Digital sebanyak RM 1 juta kepada belia Tiong Hua yang layak melalui Yayasan Sultanah Fatimah.

“Peruntukan melibatkan seramai 200 usahawan digital yang bertujuan membolehkan mereka memulakan perniagaan masing-masing menggunakan platform e-dagang”, katanya.

Setiap usahawan digital akan menerima dana sebanyak RM5,000 seorang. Daripada jumlah ini, sebanyak RM3,000 adalah untuk memulakan perniagaan e-dagang, manakala RM2,000 lagi bagi bayaran kursus e-dagang.

Usahawan Digital merupakan satu inisiatif penting yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor kepada belia Johor. Ia mensasarkan untuk memberi pendedahan awal kepada golongan belia untuk lebih kreatif dalam membangunkan ekonomi digital.

Dengan inisiatif serta bimbingan berterusan, Kerajaan Negeri percaya bahawa tidak mustahil usahawan digital Johor akan berupaya untuk berkembang dan meneroka pasaran global pada masa akan datang. Menyedari keperluan itu, Kerajaan Negeri amat menggalakkan lebih ramai golongan belia untuk menceburi bidang perniagaan agar hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi ekonomi yang berdaya saing tercapai.

Dengan bantuan Dana Usahawan Digital ini para belia dapat mengukuhkan perniagaan e-dagang sekali gus mampu melahirkan lebih banyak produk inovasi yang berasaskan teknologi digital.

Menteri Besar Johor juga menyimpulkan ekonomi negeri Johor dapat dibangunkan melalui 3 idea besar yang telah dirancang dengan rapi.

Pertama, Johor nekad dan sangat berfokus untuk menjadi kuasa ekonomi baharu untuk Malaysia. Kedua, Johor akan menjadi sebahagian dari gelombang ‘The New Industrial Revolution’. Ketiga, Kerajaan Negeri akan memberikan wajah baru untuk Iskandar Malaysia. Ketiga-tiga idea besar ini dilihat mampu membantu melonjakkan ekonomi negeri Johor.

Lebih menarik, program seperti Usahawan Digital ini bukan sahaja memberi peluang kepada golongan belia Johor untuk menjadi penggerak ekonomi digital negeri Johor pada masa hadapan. Tetapi ia menggambarkan dengan jelas bahawa wujud satu perancangan serta pelan masa depan yang menarik untuk ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Johor kepada golongan muda pelbagai bangsa di Johor.

Kesemua ini adalah perkara yang seharusnya dilihat secara serius dan menjadi pertimbangan besar kepada golongan muda di negeri Johor. Setidak-tidaknya mereka peka bahawa terdapat banyak peluang menarik untuk direbut di Johor, khususnya dalam bidang keusahawanan.

*Artikel ini juga telah diterbitkan di Berita Daily 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here